Penyokong Rayu KFA Tarik Balik Keputusan Rehatkan Marcote


ALOR SETAR – Keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk merehatkan ketua jurulatih Lang Merah, Ramon Marcote mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong yang meluahkan pandangan di media sosial.

Di laman Facebook KFA, rata-rata penyokong mahu Marcote terus kekal mengemudi pasukan memenuhkan ruangan komen dengan tanda pagar ‘inmarcowetrust’ dengan pelbagai kata-kata semangat buat jurulatih kelahiran Sepanyol tersebut, selain desakan terhadap persatuan berkenaan supaya menarik balik keputusan itu.

Tidak ketinggalan menyatakan sokongan kepada Marcote adalah gabungan 21 kelab penyokong yang membentuk Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), sekali gus menjadikan mereka sebagai antara kelab penyokong paling berpengaruh di negeri Kedah.

Menurut Pengerusinya Wan Mohd. Syazwan Wan Mohd. Fadzelah berkata, kebanyakkan ahli gabu­ngan itu jelas kecewa dengan apa yang berlaku kerana menganggap Marcote tidak diberi peluang secukupnya untuk membuktikan kemampuan beliau.


“Bagi kami Marcote tidak dinilai secara adil. Sebelum ini KFA kata beliau akan diberi peluang selama setahun untuk membuktikan kemampuan tetapi ini baru beberapa perlawanan sudah direhatkan.

“Dalam liga di negara ini, istilah rehat itu biasanya hanya alasan awal untuk memecat jurulatih. Kami rasa ada ‘tangan ghaib’ yang mengatur semua ini demi kepentingan tertentu,” katanya memetik Utusan Online.

Tambahnya lagi, rata-rata ahli gabungan persatuan itu yang mengadakan mesyuarat baru-baru ini bersetuju bahawa prestasi pasukan di bawah Marcote adalah lebih baik berbanding tahun lalu walaupun Lang Merah sudah terlepas dua piala musim ini.

“Kita mengalami masalah apabila beberapa pemain gagal menyinar tetapi percaturan di­terapkan Marcote cukup baik. Pembaharuan dibawa Marcote adalah tepat tetapi perlu diakui standard liga kita sedang me­ningkat dengan setiap pasukan termasuk JDT juga mengalami kekalahan tidak dijangkakan musim ini.

“Ibaratnya KFA ketika ini sedang membaiki kenderaan yang rosak. Itu memang bagus tetapi sayangnya mereka membaiki di bahagian ‘tayar’ sedangkan yang rosak adalah enjin kereta itu sendiri,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ketika ini mereka cukup risau dengan perkembangan semasa kerana Marcote yang cukup rapat dengan persatuan tersebut masih gagal dihubungi untuk diminta penjelasan mengenai apa yang berlaku.

“Kami merayu kepada KFA supaya tarik semula keputusan ini. Apa yang dilakukan kepada Marcote tidak sepatutnya berlaku kerana beliau seolah-olah diberi jawatan yang sengaja diada-adakan untuknya,” katanya.


LMFA juga meminta supaya Marcote tidak berkecil hati dan membuat keputusan untuk meninggalkan Kedah kerana peminat masih menagih sentuhan beliau.

Terdahulu kira-kira 100 wakil kelab gabungan penyokong Kedah hadir untuk sama-sama menandatangani kain rentang berbunyi `We Want Marcote’ dan `Stay for Head Coach’ sebagai tanda sokongan kepada jurulatih berkenaan.

Antara kelab gabungan yang hadir ialah Lang Merah Fans Club, Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah (KEPAK), Geng Gila Bola, Lang Merang Lembah Klang, Lubuk Manjung Fans Club dan Red Eagle Club.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga Menteri Besar, semalam berkata, keputusan merehatkan Marcote dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

Beliau berharap semua pihak dapat memberi kepercayaan kepada pengurusan KFA untuk melakukan sedikit rombakan bagi membantu menaikkan semula pasukan Lang Merah. - Kedahnews.com