Perkeso Bayar RM3.8 Juta Kepada Pencarum


KUANTAN – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang telah membayar sejumlah RM3.8 juta untuk pembayaran faedah kepada 846 pencarum bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Pengarah Perkeso Pahang Abu Hurairah Ahmad berkata pembayaran faedah paling tinggi diberikan terhadap golongan yang mengalami hilang upaya kekal iaitu 104 orang dengan bayaran berjumlah RM2.4 juta.

“Selebihnya membabitkan bayaran untuk faedah hilang upaya sementara sebanyak RM894,196 kepada 322 penerima, pencen ilat sebanyak RM209,500 (219 penerima), pencen penakat (RM171,984 kepada 71 penerima), faedah pengurusan mayat (RM101,190 kepada 121 penerima) dan faedah orang tanggungan (RM33,695 kepada sembilan penerima),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek faedah Perkeso kepada 10 penerima yang membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM141,753.60 di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan seramai 143 individu di Pahang yang hilang pekerjaan bermula Januari lepas telah menerima bayaran bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan bermula Januari lepas.

Katanya, bantuan kewangan itu diberi kepada individu yang telah membuat pemotongan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diberi untuk tempoh tiga bulan sebelum mendapatkan pekerjaan baharu.

SIP mula dilaksanakan pada Januari 2018 sebagai satu jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu. – Bernama