Perlu Mandat Besar Untuk Tingkatkan Kedudukan Negara - PM



PEKAN - Barisan Nasional (BN) perlukan mandat lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk membawa rakyat dan negara melonjak lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setiap tahun, perkembangan ekonomi negara menunjukkan peningkatan secara konsisten walaupun keadaan ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu hasil daripada pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan BN.

"Adalah menjadi falsafah kerajaan yang ada hari ini untuk menjana ekonomi bagi memberi manfaat kepada semua rakyat sama ada di bandar atau luar bandar, memang kita menjadikan perkara ini sebagai keutamaan.

"Apabila kita berjaya menguruskan ekonomi dengan baik, sudah pasti ia akan meningkatkan hasil, jangan pula apabila sudah meningkat pendapatan, kita tumpukan (pembangunan) di kawasan bandar sahaja, kena agihkan juga ke kawasan luar bandar seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Pesawah Peringkat Negeri Pahang di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pesawah dari lima kampung di Pekan, Rompin, Kuantan, Maran dan Jerantut menerima Bantuan Khas Pesawah Padi berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Seramai 779 penerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat dan 442 penerima Bantuan 'Touch Point' Input Perikanan pada majlis sama.

Najib yang berdepan cabaran empat penjuru di Parlimen Pekan pada pilihan raya kali ini berkata, kerajaan akan mengumumkan tambahan bantuan khas pesawah berjumlah RM200 sebulan (untuk tiga bulan) sekiranya BN menerima mandat lebih besar dalam PRU14.

"Saya akan umumkan tambahan bantuan, jika sekarang dapat RM200 sebulan (untuk tiga bulan), jumlahnya akan ditambah, tetapi saya akan umumkan kemudian, malam 9 Mei, apabila kita tahu keputusan (PRU14), kalau pencapaian dalam PRU14 lebih baik, malam itu juga saya akan umumkan.

"Kita tidak payahlah dengar fitnah pembangkang, dulu mereka kata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai dedak, apabila tengok manifesto mereka, ada juga sentuh pasal BR1M. Ini semua tak boleh pakai, banyak sangat U-Turn.

"Baik kita tumpu kepada cara nak tingkatkan hasil tanaman padi di IADA Pekan ini, saya sasarkan peningkatan hasil daripada 2.5 tan bagi setiap hektar ketika ini, kepada enam tan apabila siap projek sistem pengairan berintegrasi bernilai RM300 juta yang sedang dibangunkan ketika ini," katanya.

Pada PRU14, Najib dicabar ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohamad Zahid Md Arip; Naib Yang Dipertua PAS Pekan, Kapten (B) Athiatudin Daud dan ahli perniagaan dari Johor yang bertanding sebagai calon bebas, Datuk Abd Kadir Sainuddin.

Sumber: BH Online