Pertama Kali Mengundi? Ini Adalah 8 Perkara Yang Anda Harus Tahu


KUALA LUMPUR - Tarikh 9 Mei yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan tarikh penting bagi warga Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas.

Malah tarikh penamaan calon telah ditetapkan pada 28 April ini dan pengundian awal pula pada 5 Mei.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, ber­da­sarkan daftar pemilih Suku Keempat 2017, seramai 14,940,624 pemilih layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jumlah yang membabitkan pemilih biasa seramai 14,636,716, pemilih awal tentera, polis dan pasangan (300,255) dan pengundi tidak hadir luar negara (3,653) dalam pilihan raya kali ini.

Tarikh 9 Mei yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan tarikh penting bagi warga Malaysia yang berusia 21 tahun keatas.

Bagi yang pertama kali hendak membuang undi, berikut merupakan panduan yang anda perlu tahu.

1) Menyemak status pendaftaran sebelum hari mengundi.

Semak nama dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), semakan boleh dibuat melalui laman sesawang SPR di www.spr.gov.my, telefon ibu pejabat SPR di talian 03-88856565 atau melalui perkhidmatan SMS: Taip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO. KAD PENGENALAN, hantar ke 15888.

2) Datang awal ke Pusat Mengundi dan bawa salah satu daripada dokumen pengenalan diri seperti berikut:

Kad pengenalan (MyKad).
Pasport antarabangsa.
Resit kad pengenalan sementara bergambar .
Resit laporan kehilangan kad pengenalan bergambar yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Lesen memandu bergambar.
Kad kuasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan.

3) Tunjukkan dokumen pengenalan diri kepada Kerani Penyemak Daftar Pemilih (KPDP) di Barung SPR pusat mengundi.

Dapatkan slip nombor saluran tempat mengundi dan beratur menunggu giliran untuk ke bilik tempat mengundi yang betul.


4) Tunjukkan slip nombor saluran tempat mengundi dan dokumen pengenalan diri kepada Kerani Pengundi Pertama (KP1).

Selepas dibenarkan masuk, serahkan dokumen pengenalan diri beserta slip semakan kepada KP1 supaya nama anda ditanda sudah hadir mengundi.
Tunjukkan jari telunjuk kiri untuk diperiksa dan pastikan tiada sebarang tanda dakwat kekal di jari.

5)  Celup dakwat kekal

Setelah disemak dokumen pengenalan diri oleh KP1, KP2 akan mencelup dakwat kekal di hujung jari telunjuk kiri.
Dakwaan pengundi boleh mengundi lebih dari sekali jika dakwat kekal dihilangkan, adalah tidak benar kerana KP1 sudah menandakan nama yang sudah membuang undi.

6) Dapatkan kertas undi

Selepas jari telah ditandakan dengan dakwat kekal, bergerak ke KP3 untuk mendapatkan kertas undi.

7) Buang Undi

Bergerak ke petak mengundi untuk menanda kertas undi dengan tanda ‘X’ di ruang bersebelahan logo parti.
Apa yang penting, pilih satu calon sahaja atau ia akan menjadi undi rosak.

8) Selesai!

Setelah selesai membuat pilihan yang betul, anda hendaklah melipat kertas undi dengan dua kali lipatan dan bergerak ke peti undi bagi memasukkan kertas undi mengikut peti Undi Parlimen atau Peti Undi Negeri.
Keluar dari tempat mengundi dengan segera bagi melancarkan proses pengundian dan tidak menganggu petugas SPR.

Sumber: Awani