Pilih Samsuri Ganti Abdul Hadi Keputusan Tepat


KUALA TERENGGANU - Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berpendapat, pemilihan Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon di kerusi Pas Dun Rhu Rendang pada PRU14 bagi menggantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah pemilihan sesuai dan tepat.        

Malah beliau juga yakin pemilihan telah dilakukan secara berhati-hati dan mengambil kira semua perkara termasuk pengalaman calon sendiri yang merupakan Setiausaha Politik Presiden Pas.

“Saya fikir dia (Samsuri) adalah calon yang paling sesuai bagi menggantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.  Tentunya, Hadi telah melakukan pemilihan dengan berhati-hati dan sesuai.

"Sebagai Setiausaha politik, beliau (Samsuri) tahu pemikiran dan cara bekerja (Abdul Hadi) dan sebagainya.  Oleh itu, beliau (Abdul Hadi) akan pastikan (Samsuri) menang kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Pas dan juga Hadi.

"Tentunya meletakkan setiausaha politiknya adalah satu pilihan yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau yang juga merupakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, ini akan menjadi cabaran besar kepada BN untuk merampas kawasan itu yang telah dipertahankan selama 36 tahun oleh Pas dan juga Abdul Hadi sendiri.  

Beliau juga berpendapat, Samsuri yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi kerana merupakan pakar penerbangan yang juga bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) serta mempunyai keperibadian baik itu, dilihat mampu pertahankan kerusi itu.

“Saya yakin beliau boleh pertahankan kerusi di Dun Rhu Rendang dan mampu memberi cabaran besar kepada BN untuk merampas kerusi itu. Samsuri merupakan calon yang sukar ditandingi oleh BN,” katanya.

Apabila ditanya kenapa tidak meletakkan anaknya, Mohd Khalil Abdul Hadi di kerusi Dun Rhu Rendang sebaliknya di Dun Batu Burok, beliau berkata tentunya Abdul Hadi atau Pas mempunyai alasannya sendiri.  

“Dia (Abdul Hadi) melihat orang kanannya lebih sesuai. Samsuri sendiri juga sudah masak dan mengenali kawasan itu dan sudah dikenali penduduk.  

"Sebagai setiausaha politik juga, beliau yang menjaga pergerakan dan program politik Abdul Hadi.  Saya percaya pemilihan begitu strategik dibuat oleh Pas,” katanya.

Apabila ditanya, kemungkinan Samsuri bakal menjadi calon Menteri Besar sekiranya Pas berjaya menawan Terengganu.  

“Tidak mustahil, jika Pas mampu menawan Terengganu, Samsuri mungkin menjadi calon Menteri Besar,” katanya.  

Selepas 36 tahun menjadi Adun Rhu Rendang, Abdul Hadi akhirnya melepaskan kerusi tersebut kepada Setiausaha Politiknya, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi meneruskan legasi Pas di kawasan berkenaan dalam PRU14.

Sumber: Sinar Harian