KOTA BHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil langkah berani untuk mengubah wajah Kelantan yang selama ini sering terpinggir daripada arus pembangunan negara atas kekangan geografi, sejarah dan politik.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan kerajaan untuk melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari ibu negara dan merentasi Pahang, Terengganu dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat di Kelantan antara tindakan berani yang dilihat berjaya ‘meruntuhkan’ tiga halangan utama itu dalam usaha membangunkan negeri berkenaan.
Annuar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata sebelum ini kedudukan geografi Kelantan yang dipisahkan Banjaran Titiwangsa, sering banjir dan jauh dari bandar besar antara punca arus pembangunan lambat sampai ke negeri itu.
“Ratusan tahun penjajah Siam mahupun Inggeris tak boleh nak runtuhkan halangan geografi ini,” ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Warga Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor, sempena lawatan sehari Najib ke negeri itu, semalam.
Manakala, dari segi sejarah, Kelantan sebagai sebuah negeri Melayu Tidak Bersekutu sering dipinggirkan oleh pihak British dan kerana halangan politik, negeri itu yang dikuasai pembangkang juga sering diketepikan daripada mengecapi nikmat pembangunan seperti negeri-negeri lain.
“Orang lain tak berani nak buat tapi beliau (Najib) ambil keputusan untuk ‘belah’ banjaran Titiwangsa nak buat ECRL.
“Najib jadikan realiti orang Terengganu yang tak pernah dapat ‘kete lipang’ (kereta api). ECRL ini akan merubah wajah pantai timur hasil air tangan Datuk Seri Najib,” katanya
Dalam pada itu, Annuar berkata rekod prestasi Najib dalam menguruskan parti adalah sangat baik dengan memberi peluang kepada parti komponen lebih terbuka dalam menyuarakan pandangan masing-masing.
Malah, sebagai perdana menteri, beliau berkata pengurusan negara, perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, pengurusan ekonomi serta perhubungan antarabangsa di bawah Najib bertambah baik berbanding dahulu.
Justeru, beliau menyeru pengundi di Ketereh agar berdiri teguh bersama Najib agar perkara tersebut dapat dikekalkan menerusi sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini. – Bernama