TAWAU – Polis hari ini menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya seorang kanak-kanak perempuan dirogol tengah hari semalam di Pasar Tanjung di sini, sebenarnya hanya diganggu lelaki disyaki ada masalah mental.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata lelaki berusia 25 tahun itu telah ditahan selepas ibu kepada mangsa berusia 10 tahun itu membuat laporan di balai polis pada pukul 1.56 petang.
“Ibu mangsa berusia 43 tahun membuat laporan polis bahawa anak perempuannya diganggu seorang lelaki tidak dikenali di pasar berkenaan pada pukul 1.30 petang.
“Mangsa bermain dengan rakan-rakannya kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum terserempak dengan suspek yang tiba-tiba menghulurkan wang RM5 kepada mangsa tanpa berkata-kata,” katanya lagi.
Berikutan itu, Fadil berkata mangsa yang terkejut dan ketakutan terus melarikan diri dan menjerit memanggil ibunya.
Sementara itu, katanya, suspek ditahan itu merupakan warga Indonesia serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah. -Bernama