Polis Siasat Video Lelaki Cabut Bendera BN


KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat laporan membabitkan video seorang lelaki mencabut bendera Barisan Nasional dan membuangnya ke tanah yang kini tular di Internet.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan mengenai kejadian itu.

"Kes itu berlaku pada Ahad di Jalan Burhanuddin Helmi di Taman Tun Dr Ismail.

"Laporan dibuat oleh orang yang mengambil video, orang yang memasang bendera serta wakil Pemuda Umno," katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis di sini pada Isnin.

Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki di dalam video itu untuk tampil membantu siasatan.

"Kami sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan kerosakan dan kerosakan," katanya.

Mazlan berkata, sebarang kesalahan yang melibatkan tindakan meletakkan bendera parti politik sebelum tempoh kempen pilihan raya jatuh di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    

Beliau menambah bahawa kebenaran daripada majlis-majlis tempatan diperlukan sebelum memasang sebarang bendera.

Dalam video berdurasi 41 saat itu, lelaki berkenaan yang kelihatan berang bertindak membuang bendera BN ke tanah.

Lelaki itu juga mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada perakam video itu sebelum terus membuang bendera di kawasan itu.

Sumber: Mstar Online