Prestasi Bekalan Elektrik Negara Dapat Pengiktirafan Dunia


KUALA LUMPUR - Malaysia mendahului 182 negara termasuk United Kingdom dan Singapura, dalam senarai Laporan Global Mengenai Bekalan Elektrik Harga Berpatutan dan Boleh Diharapkan yang diterbitkan baru-baru ini.

Malaysia juga menduduki tempat kelapan dalam kalangan 190 negara dalam kategori 'Mendapatkan Bekalan Elektrik', berdasarkan Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018, sekali gus menyaksikan negara mengekalkan kedudukan tinggi dalam senarai terbabit, yang membuktikan pembekalan elektrik negara boleh diharapkan.

Penarafan dunia itu dibuat berasaskan beberapa standard seperti pembekalan yang boleh diharapkan, ketelusan kadar tarif, kos penyambungan bekalan yang mampu milik, kemudahan proses mendapatkan bekalan di mana hanya 31 hari diperlukan bagi penyambungan ke grid utama elektrik di Malaysia berbanding purata 78 hari di negara lain.

Kedudukan Malaysia itu mampu dicapai berikutan usaha gigih dan kerjasama erat antara Suruhanjaya Tenaga serta Tenaga Nasional Bhd (TNB), yang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti permohonan dalam talian bagi keselesaan pelanggan serta memendekkan masa menunggu, sekali gus menjadikan keseluruhan proses permohonan lebih mudah lagi cepat.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dipetik berkata semua inisiatif berkenaan selaras dengan dasar kerajaan bagi membekalkan tenaga elektrik pada kadar tarif mampu milik, mudah diperoleh dan pembekalan yang mampan.

Senarai 20 negara teratas senarai 'Mendapatkan Bekalan Elektrik'

1. Emiriah Arab Bersatu (UAE)

2. Korea Selatan

3. Taiwan

4. Hong Kong

5. Jerman

6. Sweden

7. Switzerland

8. Malaysia

9. United Kingdom

10. Russia

11. Iceland

12. Singapura

13. Thailand

14. San Marino

15. Republik Czech

16. Denmark

17. Jepun

18. Panama

19. Slovenia

20. Finland

Sumber: BH Online