TEMERLOH - Rakyat perlu menilai prinsip dan perjuangan sebenar PKR yang terbukti menggunakan reformasi 1998 sebagai alat untuk mencapai agenda politik peribadi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata berbanding memperjuangkan nasib rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, gerakan reformasi yang turut membawa rakyat ke jalanan itu juga adalah sandiwara politik demi kepentingan peribadi Anwar.
"Reformasi 1998 sebenarnya sebuah lagu politik dan bukannya satu perjuangan membela rakyat seperti yang diuar-uarkan oleh PKR.
"Ianya digunakan untuk memperdayakan golongan muda supaya tertarik dengan Anwar kerana ketika itu Anwar mahukan kuasa politik daripada Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan Barisan Nasional (BN).
"Pada hari ini, Anwar yang mahu mengambil kuasa politik dari Datuk Seri Najib Razak telah mengubah strategi menggunakan Dr Mahathir pula untuk mencapai cita-citanya dan tidak lagi menggunakan reformasi," katanya ditemui selepas menziarahi bekas Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Kuala Semantan (Pintas) Saleh Harun yang meninggal dunia di sini, semalam.
Mohd Sharkar berkata, keputusan parti pembangkang meletakkan calon luar bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas menunjukkan niat sebenar pembangkang yang bukan mahu berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, pakatan pembangkang sebenarnya hanya mahukan platform atau batu loncatan kerusi Parlimen Temerloh untuk mereka berada di Dewan Rakyat berbanding mahu memberi khidmat kepada rakyat.
"Sepanjang lima tahun lalu rakyat boleh menilai kegagalan pembangkang terutama sekali ketika musibah banjir besar yang melanda daerah ini serta banyak lagi perkhidmatan yang gagal diberikan kepada rakyat.
"Hanya orang tempatan yang tahu apa sebenarnya diperlukan oleh rakyat sama ada dari sudut pembangunan infrastruktur, keceriaan dan sebagainya.
"Wakil rakyat dari PAS sebelum ini (Nasrudin Hassan) sudah pergi ke tempat lain, jika benar dia mahu berkhidmat kepada rakyat sepatutnya dia terus dicalonkan di Temerloh.
"Begitu juga dengan calon DAP di Mentakab (Tengku Zulpuri) sudah lari ke tempat lain, jadi mereka ini semua mempunyai rekod yang tidak baik di Temerloh, dan wakil rakyat DUN Kuala Semantan dari PAS sudah lari ke Parti Amanah Negara ( PAN) sedangkan rakyat perlukan khidmat mereka.
"Kita harap pengundi Melayu dan bukan Melayu boleh menilai sendiri kesan apabila orang yang bukan berasal dari sini menjadi wakil rakyat," katanya.
Mohd Shakar turut berkata, BN seperti biasa akan meletakkan calon tempatan di dalam kawasan ditandingi di Temerloh kerana kami mahu memberikan khidmat kepada rakyat.
Katanya, pengundi boleh membuat keputusan bijak selepas pernah dikecewakan selama lima tahun di bawah wakil rakyat pembangkang.
Pada PRU-13, Nasrudin yang juga Ketua Penerangan PAS, menewaskan wakil BN Datuk Saifuddin Abdullah di Parlimen Temerloh manakala bagi kerusi DUN Kuala Semantan dimenangi Syed Hamid Syed Mohamed dari PAS yang kemudian melompat ke PAN pada 2015.
Bagi DUN Mentakab, Naib Presiden DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menewaskan wakil BN, Datuk Chuah Boon Seong.
BN hanya menang di kerusi DUN Lanchang menerusi Mohd Sharkar menewaskan PKR, Ahmad Nizam Hamid.
Sumber: BH Online