Program 'Food Supply', Penduduk Kedah Dapat Barang Basah 'Free'


YAN - Hanya dengan senyuman, penduduk yang kurang berkemampuan boleh mengambil apa jua keperluan barangan yang dibawa Pertubuhan Kindness Malaysia ke kawasan mereka.

Projek Koordinator, Nurul Huda Zakaria berkata, program ‘food supply’ ini adalah kerjasama Food Aid Foundation dan Pasaraya Tesco Malaysia.

Menurutnya, program ini menyediakan bahan mentah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti.

“Insya-ALLAH kami cuba untuk membekalkan bahan mentah yang menjadi keperluan utama penduduk,” katanya.

Katanya, pihak penganjur memilih lokasi sesuai agar penerima adalah golongan yang benar-benar memerlukan.

"Program ini bermula sejak Februari lalu dengan sumbangan khas daripada pihak Tesco.

“Boleh dikatakan setiap hari pihak Tesco akan bekalkan barang kepada Kindness Malaysia dan kami dipertanggungjawabkan untuk memberikan barang tersebut kepada penduduk di kawasan yang memerlukan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, ramai penduduk yang gembira dengan kedatangan mereka.

“Benda percuma kan, mesti ramai yang serbu sebab seronok jadi kami ada kata kepada mereka semua ni tak perlu duit cuma bayar dengan senyuman.

“Seronoklah mereka memilih barangan yang diperlukan untuk keluarga,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan yang pernah dilawati ialah sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Pokok Sena, Pendang, Yan dan Jitra.

“Insya-ALLAH setakat ini kita hanya bergerak di sekitar Kedah sahaja dan kawasan lain akan kita pergi sekiranya ada permintaan daripada penduduk,” katanya.

Pihak Kindness Malaysia akan memperluaskan lagi kawasan penyaluran bantuan dan akan lebih mengutamakan kawasan pendalaman.

“Kami target satu hari akan ada satu kawasan yang kami pergi bagi menyalurkan bantuan,” katanya.

Sumber: Sinar Online