KUALA LUMPUR - Orang muda diingatkan bahawa masa depan mereka lebih terjamin jika Barisan Nasional (BN) terus diberi peluang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.
Ini kerana selain rekod pencapaian yang terbukti berupaya menunaikan janji, kali ini BN bukan sahaja membuat tawaran, malah memberi jaminan menyediakan pakej serba lengkap untuk mereka meneruskan kehidupan lebih selesa selepas tamat sekolah sehingga ke alam perkahwinan dan berkeluarga.
Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pakej khas Jaminan Orang Muda BN (JOMBN) itu terangkum dalam manifesto yang pertama kali ditawarkan oleh BN khusus untuk golongan berkenaan.
Katanya, walaupun dalam media sosial, masih ada suara sumbang yang mempersoalkan kredibiliti BN untuk menunaikan JOMBN, namun rekod yang diserlahkan selama ini tidak wajar diketepikan.
"Saya beri komitmen sepenuhnya kepada lapan teras dalam JOMBN. Bagi pemuda, kita berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana kita berjaya tampilkan manifesto belia.
"Ini bukan janji kosong, sebab berdasarkan rekod lalu, kita sudah melaksana lebih 90 peratus janji dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13," katanya dalam rancangan Bicara Jom Undi yang disiarkan secara langsung menerusi FB Live menerusi platform portal berita BHOnline, Metro Online dan NST Online, hari ini.
Mengenai persoalan mengapa JOMBN baru kini ditawarkan walaupun BN sudah memimpin negara sejak berdekad lalu, Khairy berkata memang hasrat BN untuk membela dan memastikan keperluan orang muda sentiasa diberi perhatian.
"Setiap kali pilihan raya, setiap parti akan memperbaharui komitmen mereka. Setiap parti akan ada manifesto yang baharu," katanya.
Beliau berkata, antaranya satu suruhanjaya akan ditubuhkan untuk menentukan sektor swasta supaya meningkatkan kemahiran, sekali gus menaikkan gaji pekerjanya.
Katanya, langkah itu sebagai menyokong program Tawaran Orang Muda (TOM), salah satu daripada lapan teras JOMBN, yang menjamin peluang pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mendaftar dengan TOM.
"Kita akan sediakan peluang pekerjaan yang setimpal dengan pemohon. Saya yakin peluang pekerjaan yang dijana nanti dapat dipadankan mengikut kelayakan mereka," katanya.
Beliau berkata, dalam suruhanjaya itu nanti akan ada wakil kerajaan dan pekerja yang menentukan struktur dan jurang pendapatan antara Ketua Pegawai Eksekutif dan pekerja tidak terlalu besar.
"Jurang ini perlu dikecilkan, bukan saja GLC (syarikat berkaitan kerajaan) tapi syarikat swasta. Sekarang ini mereka mengambil jalan mudah dengan tidak meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, pada masa sama terus ambil pekerja asing.
"(Di bawah JOMBN) kita bagi peluang kepada mereka untuk tingkatkan kemahiran untuk dapat kelayakan dan sijil baharu. Jadi ia (pekerja tempatan) tiada siling lagi (gaji minimum) mengenai laluan kerjaya," katanya.
Dalam temu bual berkenaan, Khairy juga memperjelaskan pakej JOMBH lain, iaitu memperkasa ekonomi belia luar bandar, memudahkan usahawan muda mendapat bantuan, membebankan beban keluarga muda, menyediakan kehidupan berkualiti, memastikan peluang untuk segenap segmen dan mengangkat idea Generasi TN50
Sumber: BH Online