#PRU14: BN Sik Zahir Keyakinan "Kekal Kemenangan 3-0"


SIK - Barisan Nasional (BN) hari ini meluahkan keyakinan untuk mempertahankan kemenangan 3-0 di kerusi Parlimen dan dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dicapai parti kerajaan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sik, Dato' Tajudin Abdullah berkata, majoriti masyarakat tempatan di daerah terbesar di Kedah itu dapat merasai kesan positif yang jelas memanfaatkan mereka sejak kemenangan 3-0 memihak BN pada PRU ke-13 dan ia akan berterusan jika BN sekali lagi diberi mandat kali ini.

"Sebagai Pengerusi BN Sik, saya yakin kami semua mampu mempertahankan ketiga-tiga kerusi iaitu Parlimen Sik, Dun Jeneri dan kerusi yang akan saya tandingi, Dun Belantek pada 9 Mei nanti.

"Alhamdulillah, track record kami memang terbukti. Tanya orang kampung di Sik, mereka tahulah. Sejak kemenangan kita pada PRU-13, lebih daripada RM500 juta telah kerajaan peruntukkan untuk kepentingan orang Sik.

"Jadi, kalau kita silap memilih pembangkang pada 9 Mei ini, maka berkemungkinan besar kita orang Sik akan hilang kelebihan ini pada masa akan datang. Jangan emosi, tapi kita perlu bijak menilai dan rasional demi masa depan Sik.

Pencalonan Tajudin di Dun Belantek merupakan kali ketiga beliau menggalas amanah parti setelah menang di kerusi itu pada PRU ke-12 dan PRU ke-13.

Beliau bertugas sebagai wakil rakyat pembangkang pada PRU ke-12 setelah Kerajaan Negeri Kedah dikuasai oleh Pakatan Rakyat (kini sudah berkubur), manakala dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri setelah BN berjaya merampas majoriti Dun Kedah pada PRU ke-13.

Dr Mansor Abd Rahman yang dicalonkan semula oleh BN pada PRU ke-14 kali ini menang di kerusi Parlimen Sik menewaskan calon PAS, Che Uda Che Nik, dengan majoriti undi sebanyak 2,807 undi pada PRU yang lalu.

Manakala, Mahadzir Abdul Hamid yang turut tercalon sebagai calon BN semalam diberi mandat oleh orang Sik pada PRU ke-13 yang lalu dengan mengatasi calon PAS, Ahmad Tarmizi Sulaiman, dengan majoriti sebanyak 2,060 undi.


Tajudin turut mengharapkan agar semua pengundi Sik tidak mempersia-siakan peluang dan terus memberi mandat kepada ketiga-tiga kerusi berkenaan bagi meneruskan pelbagai perancangan, pelaksanaan dan agenda pembangunan yang sedang pesat dijalankan di situ.

"Kita ada pelan pembangunan Sik untuk tempoh 5 tahun, 10 tahun dan 15 tahun. Contohnya kita sudah menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Sik. Projek bekalan air luar bandar iaitu pakej Padang Terap - Sik bernilai RM26.5 juta kini sedang dilaksanakan. Kawasan A dan B telah siap, manakala C akan selesai dalam masa terdekat.

"Lampu jalan pun dah lebih daripada 2,000 batang. InsyaAllah, jika berpeluang nanti kita akan usaha tambah lagi jumlah berkenaan. Begitu juga dengan kemudahan dan infrastuktur lain.

"Sebab itulah pentingnya kami diberi mandat sekali lagi untuk meneruskan pembangunan di Sik ini. Pembangunan pernah terbantut sedikit 5 tahun sebelum ini bila kita menjadi negeri pembangkang.

"Kalau marahkan nyamuk, janganlah sampai kita bakar kelambu. Kita perlu kekalkan kepimpinan yang ada dan konsepnya tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting demi masa depan Sik," ujar beliau lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Negeri Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah atas kepercayaan yang diberi kepada ketiga-tiga calon yang dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yang disandang.

Tegas beliau, ia merupakan petanda jelas bahawa Dr Mansor, Mahadzir dan dirinya tidak pernah mengabaikan kawasan dan sering turun padang sejak mula diberi mandat, tidak seperti wakil rakyat pembangkang yang hanya turun padang menjelang musim pilihan raya. - Kedahnews.com