#PRU14: Radja Positif Konsert Ditunda


KUALA LUMPUR - Meskipun tarikh konsert terpaksa dianjakkan kepada 14 Julai depan, kumpulan popular Indonesia, Radja yakin, perubahan itu tidak memudarkan kesetiaan peminat untuk menyaksikan persembahan mereka.

Radja sepatutnya beraksi di StarXpo Centre, KWC Fashion Mall, di sini, pada 5 Mei ini, namun memilih untuk menunda bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan berlangsung 9 Mei nanti.

Vokalisnya, Ian Kasela berkata, mereka menyambut baik keputusan itu kerana secara tidak langsung memberi lebih ruang kepada kumpulan itu untuk mempromosikan Konsert Radja Malaikat Cinta.

"Jika diteruskan juga pada tarikh asal, mungkin peminat kami mempunyai halangan untuk datang. Jadi, apabila penganjur mengambil keputusan menunda tarikh konsert, kami tidak membantah.

"Radja sebaliknya, melihat ada hikmah tersendiri kerana kami mempunyai banyak masa untuk mempromosikan konsert ini.

"Selepas 12 tahun tidak beraksi dalam persembahan berskala besar di negara ini, sudah pasti kami mahu konsert ini meninggalkan memori manis untuk diingati," katanya.

Konsert Radja Malaikat Cinta dianjurkan sempena kehadiran single terbaru kumpulan itu, Malaikat Cinta yang dilancarkan di Jakarta, 19 Mac lalu.

Pada konsert itu, Radja bakal mempersembahkan 15 lagu termasuk Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu dan Tulus.

Kumpulan yang baru menubuhkan label, Istana Musik itu berharap, konsert itu akan mengubati kerinduan peminat selepas kali terakhir menjayakan persembahan besar di sini pada tahun 2006.

"Kami juga ingin mengambil peluang keemasan itu untuk mempersembahkan Malaikat Cinta buat kali pertama kepada peminat Malaysia. Lebih istimewa, akan ada kejutan yang menanti sempena ulang tahun ke-17 Radja.

"Sebelum ini, kami pernah membuat persembahan di sini pada 2010, tetapi berkongsi pentas dengan beberapa artis lain. Syukur, selepas 12 tahun, kami berpeluang menjayakan konsert sendiri. Pastinya kami menjanjikan yang terbaik," katanya.

Dianjurkan Belbis Sdn Bhd dan AV Group & Symphony Music, tiket berharga antara RM85 dan RM285 boleh didapati dengan melayari: www.airasiaredtix.com.

Sumber: BH Online