PRU14: SPR Belum Ada Tarikh


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi menentukan tarikh mesyuarat bagi menetapkan hari-hari penting berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ini kerana, Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima makluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dari semua negeri.

"Buat masa ini, secara rasmi hanya Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang sudah menghantar notis rasmi.

"Bagi Parlimen pula, notis dari Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah kami terima pada 6 April," katanya pada satu sidang media di Pejabat SPR di sini hari ini.

Sidang media tersebut diadakan selepas SPR menjalankan simulasi bagi menguji sistem penerimaan dan penghantaran maklumat berkaitan Penamaan Calon dan Hari Mengundi.

"Ia dilakukan bagi mengenalpasti semua masalah dan menyediakan pelan kontingensi.

"Dari segi persiapan lain, semuanya dalam 100 peratus bersedia termasuk logistik, peralatan dan petugas," kata Mohd Hashim.

Sumber: Astro Awani