Rafidah Ada Niat Dan Agenda Terselindung - Hishamuddin


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mempunyai niat dan agenda terselindung untuk menggugat kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaanya terhadap aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diswastakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjelaskan Rafidah sebenarnya mempunyai masa cukup panjang sebelum ini untuk mempersoalkan perkara itu, namun memilih untuk bercakap pada hari ini.

Beliau berkata, dakwaan tidak berasas itu jelas mempunyai niat dan sasaran peribadi, apatah lagi ia dibangkitkan menjelang hari mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Pendirian mereka berubah-ubah. Kalau jawab pun pasti tidak akan penuhi kehendak mereka. Saya tahu bahawa mereka mahu isu ini diteruskan sehingga tarikh pembuangan undi nanti.

"Saya ulangi bahawa tuduhan ini tiada asas dan fitnah bulat-bulat. Harap pihak lain yang berkepentingan akan jawab secara fakta. Ketua Setiausaha Kementerian dan LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) boleh jawab.

"Di sini, dia (Rafidah) memang mahu tekankan (sasar) kepada Najib dan saya," katanya pada sidang media selepas Melancarkan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASAR) di Kem Transmitter di Sungai Besi, di sini, hari ini.

Pada pelancaran itu, sebanyak 3,500 unit rumah mampu milik akan dibina khusus untuk anggota, vateran ATM, warga awam Kementerian Pertahanan dan ahli keluarga mereka.

Turut sama hadir pada pelancaan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, LTAT juga akan membuat penjelasan berhubung isu dibangkitkan Rafidah esok.

Beliau turut menegaskan tidak mahu melayan sebarang tohmahan yang akan dilemparkan bekas rakan Kabinetnya itu, kerana ia adalah strategi politik yang memang dirancang, biarpun tanpa asas.

"Saya mahu nasihat kepada semua pihak berkepentingan, jangan jawab isu yang sudah dijawab berkali-kali. Kena hati-hati ini, kerana apa saja jawapan yang kita beri tidak akan pernah memenuhi kehendak mereka," katanya.

Menyentuh isu pemilihan hari mengundi pada Rabu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO, berkata apa saja perkara yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pasti akan cuba dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN).

"Apa saja yang kita umum tidak jadi isu? Tarikh bubar jadi isu, tarikh mengundi pun jadi isu walaupun yang menetukan adalah SPR," katanya.

Sumber: BH Online