Raja Bomoh Gagal Tanding Sebab Ada Kes Muflis


BAGAN DATUK – Ibrahim Mat Zin atau raja bomoh tidak bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 kerana diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan perkara itu berkata, ini menyebabkan bomoh terkenal tersebut tidak dapat hadir semasa proses penamaan calon di sini hari ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Ibrahim tidak dapat bertanding sebab mengalami bankrap. Saya alu-alukan kedatangannya ke sini tapi dia pula kebetulan ada masalah dan itu bukan tanggungjawab kita,” katanya.

Ahmad Zahid menang kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi pada PRU ke-13 lalu berkata demikian pada sidang akhbar selepas penamaan calon di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk.

Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM) berusia 68 tahun itu sebelum ini dilaporkan bakal menentang Ahmad Zahid kerana ada ramai kenalan ramai terutama murid silatnya yang meminta beliau bertanding.

Ibrahim turut berjanji menyerahkan kesemua gaji bulanannya sebagai Anggota Parlimen bagi membantu penduduk di kawasan Bagan Datuk sekiranya memenangi kerusi tersebut pada PRU itu nanti. 

Sumber – Agensi