NILAI - Suasana seolah-olah ramai rakyat membenci Barisan Nasional (BN) di media sosial tidak menggambarkan keadaan sebenar, sebaliknya itu hanya persepsi semata-mata.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata persepsi yang terbentuk di media sosial bukan pendapat atau suara majoriti rakyat Malaysia secara keseluruhan, tetapi terhasil daripada pembabitan aktif dua golongan masyarakat.
"Satu golongan adalah orang yang aktif di media sosial yang suka memberi pendapat dan komen selain berkongsi artikel yang menghentam BN atau kerajaan. Kita perlu sedar, bukan semua rakyat Malaysia benar-benar aktif seperti ini.
"Satu lagi golongan ialah 'cyber trooper' pembangkang yang menjalankan propaganda untuk membentuk persepsi sedemikian. Mereka gunakan pelbagai cara termasuk menggunakan banyak akaun media sosial yang palsu sedangkan dikendalikan oleh orang yang sama.
"Sebenarnya suasana persepsi serupa pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sehingga orang sangka BN akan kalah teruk, tapi realitinya kita tetap menang," katanya ditemui pada pertandingan tarian singa jemputan kebangsaan di Mantin di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Sin Woon berkata, dalam menghadapi PRU-14 kali ini, BN lebih bersedia untuk menghadapi serangan daripada cyber trooper pembangkang berbanding PRU-13.
Beliau berkata, ramai ahli serta penyokong BN yang aktif di media sosial kini lebih kerap dan agresif dalam menjawab pelbagai tuduhan dilemparkan pembangkang, selain mendedahkan kelemahan pentadbiran mereka.
"Pada PRU-13, kita kurang bersedia dalam menguruskan pengaruh media sosial sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang memburuk-burukkan BN tanpa kita berpeluang menjawab dengan berkesan.
"Kali ini, keadaan sudah berubah dan kita tidak membiarkan sesuatu isu yang dimainkan pembangkang berlarutan, sebaliknya kita menjawab dan memberi penerangan yang jelas kepada pengguna media sosial," katanya.
Katanya, trend di peringkat antarabangsa ketika ini juga menunjukkan ramai golongan muda sudah kurang mempercayai berita tidak sahih yang disebarkan di media sosial dan kembali kepada sumber media arus perdana yang lebih bertanggungjawab dan beretika.
Sumber: BH Online