Rakyat Pelik Kenapa Mahathir Pilih Langkawi Dari Kubang Pasu


ALOR SETAR - Desas - desus dari Langkawi menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad bakal 'balik' bertanding di kawasan selamat itu berbanding di Parlimen Kubang Pasu yang pernah menjadi kubu kuat beliau selama 22 tahun. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bukan sahaja mereka bahkan rakyat juga tertanya-tanya mengapa Mahathir tidak bertanding di kawasan yang pernah menjulang namanya sehingga menjadi Perdana Menteri selama enam penggal (1981-2003) dahulu?

Rentetan itu, rakyat mahukan perjelaskan dari Mahathir berhubung tindakan beliau 'seperti menolak' Kubang Pasu dan menganggap beliau seolah-olah takut untuk bertanding di parlimen itu.

“Rakyat juga tertanya-tanya, 22 tahun dia mewakili kerusi Kubang Pasu ketika bersama Umno, sekarang kenapa pilih Langkawi? Ini menunjukkan beliau tidak percaya dan tidak yakin lagi kepada pengundi di kawasan itu,” katanya, selepas merasmikan program Muafakat Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Taman Bersatu, Kemunting, Jitra, semalam.


Jelas Ahmad Bashah, Mahathir bimbang untuk bertanding di kawasan yang pernah menjadi jajahannya kerana menyedari rakyat di Parlimen Kubang Pasu menolaknya dan berlaku perubahan sokongan terhadapnya.

“Beliau tak yakin boleh menang di Kubang Pasu dan cari tempat baru. Terpulanglah kepada penduduk Langkawi untuk undi calon mana,” katanya.

Mengulas persediaan BN Kedah berdepan calon giant killer pembangkang seperti Mahathir yang dahulu pernah mendakwa BR1M sebagai dedak, katanya, parti itu sentiasa bersedia berdepan dengan mana-mana calon giant killer.

“Yang mana mahu bertanding dengan kita, mereka semua adalah calon giant, bukan tikus. Kita ambil serius dan andaikan mereka calon besar dan buat persediaan secukupnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah turut mengumumkan BN Kedah akan melancarkan manifesto PRU14 minggu depan, sebelum hari penamaan calon.- Kedahnews.com