Rakyat Sudah Nampak Kerajaan Lakukan Banyak Perubahan - Tajudin Abdullah


ALOR SETAR - Banyak perubahan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sepanjang beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, kini rakyat sudah nampak bukti dan amat rugi jika mandat tidak diberikan sekali lagi kepada BN untuk meneruskan pembangunan yang dirancang.

"Rakyat sudah nampak bukti, prestasi dan rekod BN di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, banyak perubahan malah Kedah kini sedang membangun, rugilah jika rakyat tidak memberi mandat sekali lagi untuk kita teruskan pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan," katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW Peringkat Parlimen Sik di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lapan, di sini, semalam.

Mohd Tajudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik menyifatkan janji Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah bekalan air dalam tempoh 100 hari jika menang pilihan raya umum ke-14 sebagai janji kosong.

Ini kerana katanya Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir gagal berbuat demikian semasa meneraju Kedah sebelum ini.

"Tetapi dia (Mukhriz) sendiri tidak ada persefahaman dengan pemimpin peringkat pusat, sebaliknya apabila bertukar menteri besar, banyak perubahan yang telah dibuat untuk menangani masalah gangguan bekalan air," ujarnya.

Diminta mengulas mengenai Manifesto BN Kedah, beliau berkata, ia disifatkan sebagai satu pakej menyeluruh yang manfaatnya merangkumi  semua lapisan rakyat sama ada di bandar mahupun di luar bandar dan manifesto berkenaan turut melengkapi manifesto yang diumumkan di peringkat pusat sebelum ini.
  
Dalam perkembangan lain, seramai 102 murid Tahun Enam dari empat buah sekolah di daerah Sik iaitu SK Batu Lapan, SK Sik, SK Hujung Bandar dan SK Batu Lima, terpilih menyertai Program Tuisyen Rakyat@KKLW, yang membabitkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Mohd Tajudin berkata, beliau berharap kecemerlangan pendidikan di daerah Sik akan dapat terus ditingkatkan demi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan, khususnya dari kawasan luar bandar.

"Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini amat membanggakan dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa depan," katanya. - Kedahnews.com