Rayuan Permohonan BR1M 2018 Dibuka Hari Ini


KUALA LUMPUR - Rayuan bagi pemohon yang gagal menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 dibuka hari ini hingga 31 Mei depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata rayuan boleh dikemukakan di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat.

"Kepada yang permohonan BR1M mereka tahun ini tak lulus, anda boleh buat rayuan bermula hari ini 2 April sehingga 31 Mei 2018 di mana-mana cawangan @LHDNMofficial," katanya menerusi catatan laman Twitter dan Facebook beliau, hari ini.


Najib berkata pemohon juga boleh menyemak status mereka dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal rasmi BR1M di https://ebr1m.hasil.gov.my.

Kerajaan memperuntukkan RM6.8 bilion untuk bayaran kepada 7.2 juta penerima BR1M 2018, dengan bayaran peringkat pertama bermula pada 26 Feb lepas, peringkat kedua pada Jun dan peringkat ketiga pula pada Ogos depan.- BERNAMA