TANGKAK - Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menyasarkan sebuah litar lumba akan dibina di setiap negeri bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sukan permotoran untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata KBS berhasrat untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun ini.
"Sukan pemotoran adalah antara sukan yang popular di negara ini, lihat sahaja jumlah penonton yang meningkat setiap tahun setiap kali kita menganjurkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
"Oleh itu pihak KBS komited dalam membangunkan sukan permotoran tanah air," katanya ketika berucap merasmikan Litar Lumba Tangkak dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia ke-25 di sini, pada Ahad.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang Ismail Mohamed.
Sumber: Awani