Hanya kerana terlepas pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penyanyi remaja Ismail Izzani, 18, sudah tidak berminat untuk menduduki peperiksaan penting itu.
Ini kerana Ismail yang belajar dari rumah dikatakan hanya menyedari mengenai pendaftaran berkenaan dua bulan selepas tarikh tutup.
Bagaimanapun, keputusan pemilik lagu Luar Biasa itu bukan bermaksud dia sudah hilang minat untuk menuntut ilmu.
Malah, dia sudah berbincang mengenai perkara berkenaan dengan ibu bapanya sekali gus mendapat sokongan mereka.
Dia dikatakan akan melanjutkan pengajiannya di sebuah kolej swasta dan menduduki peperiksaan disediakan oleh institusi itu.
Apapun, pelbagai kata-kata kurang enak tetap dilemparkan kepada Ismail oleh netizen yang kurang bersetuju dengan keputusannya.
Ikuti temu bual wartawan MICHELLE GUN bersama Ismail mengenai isu berkenaan.
Boleh menjelaskan keputusan Ismail untuk tidak menduduki SPM sebaliknya terus menyambung pengajian ke kolej swasta?
Saya mengambil risiko tinggi untuk tidak menduduki SPM biarpun mengetahui keputusan terbabit akan menjejaskan imej saya.
Saya sudah berbincang dengan keluarga. Asalkan ibu bapa tiada masalah mengenainya, saya akan meneruskan pengajian ke kolej swasta. Saya sudah fikir masak-masak mengenai keputusan itu.
Ismail tidak risau memikirkan masa depan tanpa ada sijil SPM?
Saya bukan tidak sambung pengajian cuma terus memasuki kolej swasta sebelum ke universiti. Pada pendapat saya, SPM bukan kunci untuk mencapai kejayaan.
Saya sedar SPM memang sukar dan bukan mudah untuk mencari ilmu. Saya mengaku bukan jenis yang rajin belajar. Kalau saya menyambung pengajian, saya mahu mengambil bidang diminati iaitu komunikasi massa.
Kenapa pilih komunikasi massa?
Saya merancang untuk mengambil perhubungan awam iaitu jurusan di bawah komunikasi massa.
Memandangkan saya menceburi industri seni, jurusan itu mendatangkan manfaat kepada saya. Begitu juga kalau saya belajar muzik, jurusan terbabit pastinya membantu mempertingkatkan lagi pengetahuan dalam muzik.
Justeru, saya melihat perhubungan awam boleh membantu saya memperbaiki percakapan dan personaliti diri.
Ismail tidak rasa cemburu dengan rakan-rakan yang sudah mengambil SPM?
Tidak. Bagaimanapun, saya pula teruja apabila keputusan SPM keluar. Malah, saya turut menemani rakan ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka.
Sebenarnya, saya berasa rugi kerana tidak berpeluang merasai pengalaman menduduki SPM seperti rakan sebaya.
Adakah Ismail sudah bersedia berdepan suasana pembelajaran baru di kolej yang lebih mencabar?
Saya belum bersedia sepenuhnya menjejak ke alam pengajian baru. Buat masa ini, saya akan meneruskan karier seni. Insya-Allah, saya akan sambung pengajian.
Ada segelintir netizen bimbang keputusan Ismail akan mempengaruhi pelajar untuk tidak menduduki SPM. Apa komen Ismail mengenainya?
Saya tidak pernah menganggap diri sebagai ikon kepada remaja. Namun, saya tidak salahkan pelajar yang mahu mengikut jejak saya.
eputusan itu adalah pilihan sendiri. Nasihat saya kepada pelajar supaya memilih apa yang mereka rasa gembira.
Apa komen Ismail terhadap kecaman netizen yang mendakwa Ismail tidak perlu SPM kerana keluarga kaya?
Saya menyara hidup dari hasil titik peluh sendiri dan tidak meminta ibu bapa memberi wang perbelanjaan. Hidup berdikari lebih bagus kerana mendapat pengalaman berguna.
Ramai peminat Ismail dari kalangan remaja, bagaimana anda boleh menjadi contoh kepada mereka?
Contoh baik yang saya boleh tunjukkan kepada mereka adalah tidak mudah mengalah.
Saya memilih hala tuju sendiri supaya dapat merasai pengalaman baik dan buruk.
Namun, bukan mudah untuk saya melalui banyak perkara seorang diri. Mujur keluarga dan peminat sentiasa memberi sokongan mereka.
Boleh Ismail jelaskan pilihan untuk belajar dari rumah?
Ini adalah risiko yang saya ambil tahun lalu. Ini kerana saya seolah berhenti dari tingkatan empat bagi memberi tumpuan sepenuhnya dalam karier seni.
Namun, saya berani mengambil risiko itu kerana minat menyanyi.
Kedua-dua ibu bapa turut memberi kepercayaan mereka kepada saya dan keputusan itu turut mendapat sokongan dari rakan.
Ibu menasihati saya supaya memilih bidang yang diminati untuk masa depan.
Alhamdulillah, saya lega kerana segala yang dirancang berjalan dengan lancar.
Adakah Ismail menggalakkan pelajar untuk belajar dari rumah?
Kaedah pembelajaran seperti ini bagus sebenarnya. Saya juga ada rakan yang pergi ke sekolah, tetapi pada masa sama, dia belajar dari rumah seperti kelas tuisyen.
Lebih bagus kalau belajar dari rumah sepenuh masa kerana boleh fokus dengan pengajaran guru.
Secara peribadi, saya kurang mengesyorkan pembelajaran seperti ini kerana pengalaman di sekolah lebih penting.
Saya rasa rugi kerana seperti tamat sekolah awal dan tidak sempat merasai pengalaman menjadi pelajar senior.
Ramai mengecam tarian Ismail dalam muzik video Luar Biasa selain mendakwa anda meniru artis K-Pop. Apa komen Ismail mengenai isu ini?
Bagaimana industri muzik tanah air berkembang sekiranya pendengar sukar memberi sokongan terhadap penyanyi tempatan.
Tujuan saya mempertaruhkan lagu dan muzik video Luar Biasa adalah kerana mahu memperkenalkan sesuatu baru serta segar.
Tarian dalam muzik video itu pula adalah idea saya sepenuhnya dan koreografi dibantu rakan.
Sebagai remaja, saya memahami cita rasa pendengar muda masa kini yang kebanyakannya menggemari karya seperti ini.
Malah, sudah ada beberapa penyanyi tanah air yang mengetengahkan lagu rancak dan moden.
Sebenarnya, sewaktu melancarkan Luar Biasa, saya risau single itu tidak mendapat sambutan. Syukur ramai yang suka lagu itu dan memberi sokongan.
Adakah kritikan netizen menjejaskan karier dan emosi Ismail?
Bagi saya, haters tetap akan membenci dan memberi komen negatif.
Bagaimanapun, mereka tidak menyedari sebenarnya membantu menaikkan jumlah tontonan muzik video Luar Biasa di YouTube.
Mereka menonton muzik video itu dulu sebelum mengutuk. Saya mahu mengucapkan terima kasih kerana membantu mempopularkan Luar Biasa.
Sumber: Metro