KUALA LUMPUR - Pelakon, Datin Diana Danielle mengakui, sebagai ibu, dia garang dan tegas terhadap dua anaknya, Muhammad, 5, serta Nur Aurora, 3.
Isteri kepada Datuk Farid Kamil itu berkata, dia selesa dengan pendekatan masyarakat Asia yang tegas dalam mendidik anak, tetapi pada masa sama cuba menerangkan situasi sebenar supaya mereka memahami apa yang berlaku.
"Berbanding Farid yang banyak berlembut dengan anak, saya pula lebih garang. Dia hanya akan marah dan masuk campur pada masa tertentu, terutama ketika saat genting.
"Saya pula seperti harimau. Namun, di sebalik ketegasan, saya akan beri penjelasan supaya anak faham marah saya bersebab," katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Diana berkata, dia juga tidak menggalakkan Aurora dan Muhammad terbabit dengan dunia seni kerana mahu mereka lebih fokus terhadap pelajaran.
Kata pelakon filem Hanyut itu, dia mahu kedua-dua anaknya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain dengan mengutamakan pendidikan sebelum terbabit dalam aktiviti lain.
"Saya tidak menggalakkan mereka terbabit dengan dunia seni. Kalau setakat penggambaran iklan, saya masih boleh terima. Selagi boleh dikawal, saya mahu mereka utamakan pelajaran dulu. Saya mahu mereka menikmati zaman kanak-kanak.
"Pernah sekali Muhammad bertanya, kenapa tidak semua orang mengenalinya. Biasalah, apabila kami sekeluarga keluar, pasti ada yang menegur. Begitupun, dalam ramai-ramai yang berbuat begitu, ada juga yang tidak tahu namanya.
"Saya memberitahunya, tidak semua mengenali kamu. Lucu juga, tetapi mereka perlu tahu kehidupan sebenar," katanya.
Pengacara program Kata Serasi siaran ntv7 itu berkata, berdasarkan pemerhatian, Muhammad lebih suka berada di belakang tabir.
"Pernah sekali saya membawanya ke lokasi, dia seronok duduk di kerusi pengarah melihat visual lakonan, berbanding berada di depan kamera. Dia juga minat dengan fotografi," katanya.
Sumber: BH Online