"Saya Tak Pandai Berlakon, Cuma Bekerja Untuk Rakyat Saja.." - Tok Pin


POKOK SENA - Beliau tidak kekok mendekati penduduk kampung dan masyarakat setempat. Sejak dari kecil lagi, beliau memang sudah biasa bercampur gaul dengan orang ramai di situ. Sebut saja nama beliau, majoriti daripada mereka kenal sangat dengannya.

Meskipun tidak memiliki sebarang jawatan utama, namun beliau selaku pemimpin tetap berjiwa besar memberi khidmat kepada penduduk sekitar daerah itu. Sikap rendah diri dan mudah mesranya membuat ramai yang menyenangi beliau.

Selaku anak jati Pokok Sena, beliau cukup dikenali penduduk tempatan. Kelibat beliau sering kelihatan di majlis kenduri-kendara dan program-program kemasyarakatan. Jika beliau tahu berlaku kematian di kawasan itu, pasti beliau ziarahi.

Namun begitu, dirinya cukup merendah diri. Walau berstatus Dato', namun ramai yang selesa dengan sifatnya itu. Bersahaja dengan kain pelikat dan berbaju Melayu cekak musang, kerap juga beliau hadir ke masjid di qariahnya. 


Sebagai seorang pemimpin politik, beliau cukup disegani kawan dan lawan. Beliau tetap berkawan dan melayani sesiapa sahaja walaupun berlainan fahaman atau parti politik. Beliau tidak suka bermusuh apatah lagi mencari musuh dengan sesiapa.

Jika ada yang mahu bermusuh dengannya, beliau akan cuba sedaya upaya mengelaknya dan mencari jalan untuk menyelesaikan kerumitan yang berlaku. Padanya, ikatan ukhuwwah itu suruhan agama dan patut dititikberatkan, khususnya sesama Islam.


Justeru itu, beliau tidak kekok untuk berkempen dan bertemu puluhan ribu penduduk sekitar Bukit Lada hari ini. Apabila namanya tersenarai dan diberi amanah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Lada, beliau sudah bersedia sepenuhnya.

Dato' Ariffin Man kini menggalas tugas dan amanah parti untuk meneruskan kesinambungan khidmat cemerlang BN di Dun Bukit Lada, umumnya di seluruh daerah Pokok Sena. Satu tugas berat, namun beliau redha dengan ketentuan Allah SWT itu.

Kini musim berkempen. Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dikatakan sebagai "ibu segala pilihan raya" di negara kita. Tidak terkecuali, Ariffin melipat gandakan usaha mendekati rakyat dengan sikap rendah diri, budi bahasa dan murah dengan senyuman.


"Maki hamun seperti pemimpin-pemimpin pembangkang bukan cara saya. Mereka mungkin popular, tapi saya tak reti berpolitik begitu. Apatah lagi politik tipu orang fitnah orang sana sini, itu bukan sikap kita orang Islam.

"Tak mengapalah. Biarlah depa dengan cara depa, saya lebih selesa begini. Saya tak pandai berlakon, cuma saya akan lebih berusaha terus berbakti pada masyarakat. Itu yang diperlukan oleh penduduk Bukit Lada.

"Paling penting, kita terus pastikan kebajikan penduduk Bukit Lada ni terus terjaga. Pembangunan infrastruktur, sosio-ekonomi dan sebagainya perlu saya titik beratkan untuk penduduk di Dun ini.

"Doakanlah saya supaya berjaya di dunia dan akhirat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Justeru itu, beliau memohon kepada seluruh pengundi Dun Bukit Lada untuk menterjemahkan sokongan masing-masing kepada beliau dengan memberi undi kepada BN pada hari pengundian, 9 Mei nanti. - Kedahnews.com