Kedah dikatakan merupakan negeri terawal yang terbentuk di Tanah Melayu dan pentadbirannya berjalan dengan baik sekali. Pemerintahan yang mantap telah menjadikan Negeri Kedah begitu stabil sehingga dapat mewujudkan suatu sistem mata wang yang teratur.
Rakyat Kedah sepatutnya harus berbangga dengan pencapaian nenek moyang mereka kerana didapati bahawa Negeri Kedah telah berjaya mengeluarkan beberapa jenis mata wang yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga dan timah dalam beberapa bentuk, untuk makluman pembaca setia.
Tidak semua kesultanan-kesultanan yang wujud di Nusantara ini berjaya mengeluarkan mata wang emas sendiri, hanya beberapa buah negeri sahaja iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Acheh, dan Makasar sahaja. Kerajaan lain kebanyakkannya hanya menggunakan mata wang yang diperbuat daripada timah atau tembaga sahaja.
Untuk pengetahuan pembaca setia, terdapat dua jenis mata wang emas yang lazim dikeluarkan untuk peredaran iaitu yang besar dinamakan SATU MAS dan yang lebih kecil disebut SATU KUPANG.
Para pengkaji sejarah telah menjumpai sejenis mata wang emas yang dikatakan telah ditemui di Kampung Siputih iaitu dalam daerah Kubang Pasu, Kedah dan dipercayai merupakan kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah selama beberapa ratus tahun dahulu.
Untuk makluman pembaca setia sekarang mata wang keluaran Sultan Muhammad jiwa ini terdapat di Muzium Negeri Kedah serta beberapa lagi mata wang keluaran lain-lain. Tidak perlu dipertikaikan lagi terhadap mata wang emas yang dijumpai itu kerana telah jelas tertulis di hadapannya iaitu Sultan Muhammad Jiwa dan dibelakangnya ditulis Adlin Shah, 1147.
Tahun yang tertulis di atas mata wang emas tersebut telah menjelaskan bahawa ia adalah keluaran zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II. Manakala angka 4 yang digunakan adalah menunjukkan angka 4 jenis Parsi dan bukannya angka 4 yang lazim digunakan oleh orang-orang Arab.
Oleh itu, dipercayai bahawa pengaruh Parsi agak kuat dalam kalangan rakyat Kedah. Setelah kakandanya, Sultan Ahmad Tajuddin mangkat Sultan Muhammad Jiwa II telah dilantik menjadi Sultan yang seterusnya sekitar tahun 1710 Masihi. Sewaktu pemerintahan baginda Kedah dikatakan telah berkembang dengan pesatnya dan telah menyebabkan mata wang emas tidak mencukupi bagi menampung keperluan rakyat Kedah.
Maka setelah bermesyuarat dan berbincang sesama pembesar akhirnya baginda memutuskan perak juga dijadikan sebagai mata wang utama di negeri Kedah. Maka bermulalah ditempa mata wang jenis perak yang dinamakan sebagai Darham dan nilai untuk satu Darham perak adalah bersamaan dengan Satu Kupang Emas.
Keadaan ini merupakan satu perubahan besar yang tidak dilakukan oleh negeri-negeri lain di rantau Alam Melayu ini. Sepatutnya kita harus berbangga menjadi Rakyat Kedah kerana terdapat banyak tinggalan sejarah yang belum sempat dirungkai dengan sepenuhnya.
Sumber: Orang Kedah