“Siapa Yang Halang Rakyat Malaysia Mengundi?" - Nur Jazlan


JOHOR BAHRU - “Bukan halang rakyat keluar mengundi, sebaliknya hanya ingatkan mereka supaya tidak terjerat dengan muslihat pembangkang,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada penulisan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali yang mendakwa beliau menafikan usaha rakyat Malaysia untuk melaksanakan hak demokrasi mereka pada PRU14 nanti.

“Siapa yang halang rakyat Malaysia mengundi? Saya tak halang cuma saya kata ini semua muslihat daripada pembangkang yang bergantung kepada undi tempatan untuk memenangkan calon nomad mereka.

“Itu yang saya maksudkan. Bukan menghalang, malah saya menggalakkan lagi tetapi saya mahu tekankan pembangkang hanya mahu menipu rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Jazlan mendakwa, kempen balik undi yang dijalankan

pembangkang itu disifatkannya sebagai satu muslihat untuk memenangkan calon nomad mereka yang tidak disenangi penduduk tempatan.

Dakwanya, jika kemenangan berpihak kepada wakil rakyat yang salah, ia akan membebankan penduduk yang mendiami kawasan berkenaan.  

Jelasnya, undi adalah hak untuk orang tempatan memilih wakil mereka.

Justeru itu, beliau tidak mahu undi dicemarkan oleh pembangkang yang merasakan peluang menang lebih cerah jika mereka galakkan orang luar balik ke kawasan masing-masing untuk undi calon mereka.

“Akhirnya apabila mereka dipilih, mereka tidak akan menjadi wakil rakyat yang berkesan di kawasan mereka. Salah ke saya cakap macam tu?,” katanya.

Sumber: Sinar