Sokongan Buat Bung, Zizie ‘Berkampung’ Di Sabah


KEHADIRAN pelakon, Zizie Ezette di Kinabatangan, Sabah semalam dilihat menarik perhatian ramai penyokong parti bertanding selain ada yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar.

Isteri calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu dikatakan turun padang seawal 9 pagi bersorak bersama penyokong BN dengan laungan ‘Tatap BN’ ketika suaminya dan calon BN lain tiba di pusat penamaan di Dewan Sri Lamag

Menurut Zizie, kesibukan menguruskan anak kembar langsung tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit dan memberi sokongan padu kepada suami sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, pelakon itu turut memberitahu dia akan berkampung di Kinabatangan untuk membantu suaminya berkempen.


“Saya akan terus memberikan sokongan padu kepada suami. Saya akan berkampung di sini untuk menemaninya dan membantu beliau berkempen.

“Ia tidak berubah seperti lima tahun lalu. Walaupun kini saya menjaga anak kembar, Insya-Allah itu tidak menghalang saya untuk berkempen bersamanya,” katanya seperti dipetik BH Online.

Ujarnya lagi, dia juga akan turun padang menyertai rombongan iparnya untuk berkempen dari kampung ke kampung bagi mendekati rakyat sekaligus meningkatkan kepercayaan mereka.

“Sebagai seorang isteri juga, tentu saya mengharapkan kemenangan berpihak kepada suami,” ujar Zizie.

Pada PRU-14 ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi FELCRA Berhad menghadapi dua pencabar iaitu calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Mustapa Tambuyong dan calon Parti Warisan Sabah, MA Ghazali Abdul Ghani.  - Kedahnews.com