SPAD Banteras Geng 'Ulat Tiket' Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara telah berjaya membuat enam tangkapan sepanjang tahun 2017 melibatkan geng ulat tiket yang menjalankan kegiatan penipuan jualan tiket bas di Sungai Petani.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Suruhanjayanya, Ismail Munajat berkata, hasil aduan orang ramai menunjuk banyak pengguna dan orang ramai yang tertipu dengan penjualan tiket bas ekspres.

Sebanyak lima aduan telah direkodkan sepanjang April 2018, bermula 1 hingga 8 April lalu membabitkan penipuan jualan tiket khususnya di terminal Ukir Square, Sungai Petani.

“Terbaru, kita baru sahaja buat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun yang dilihat menggunakan teknik memujuk atau mendesak pelanggan bagi membeli tiket bas di luar kawasan kaunter,” katanya memetik Sinar Harian.

Tambahnya, Ops Parasit malam semalam melibatkan 26 anggota dan dan dua pegawai bermula jam 8 malam hingga 10 malam.

“Kita memandang serius perkara ini dan sentiasa mengambil tindakan dari masa ke semasa bagi mengelakkan perkara ini berulang

"Kami juga ingin menasihati pelanggan untuk mendapatkan tiket di kaunter berdaftar, bukan dibeli dari luar premis oleh ulat tiket dan pastikan tiket bercetak komputer, bukan tulisannya tangan," katanya.

Menurutnya, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 Memujuk atau Mendesak.

Jika sabit kesalahan, denda maksimum sebanyak RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan. - Kedahnews.com