Suri Rumah Maut Dengan Kesan Jerutan Di Leher Selepas Disamun


IPOH – Seorang suri rumah berusia 32 tahun ditemui mati dengan kesan jerutan di bahagian leher dalam kejadian samun di rumah mangsa di Taman Permai di sini petang semalam. 

Kejadian yang berlalu kira-kira pada pukul 1.45 tengah hari itu disedari adik ipar mangsa yang pulang ke rumah pada pukul 4 petang. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, mangsa dijumpai wanita itu dalam keadaan terbaring dengan kesan jerutan di leher menggunakan tali nilon yang diikat pada tingkap di dalam bilik utama rumah tersebut.

“Ketika kejadian berlaku, bapa mertua mangsa berada di bilik belakang rumah berkenaan, namun warga emas itu tidak mendengar jeritan menantunya kerana dia menghadapi masalah pendengaran. 

“Siasatan awal mendapati dua lelaki disyaki terlibat dalam kejadian itu dan mereka masuk ke rumah mangsa dalam tempoh 10 minit sebelum melarikan barang kemas termasuk rantai, subang serta subang hidung milik mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam. 

Tambah Yahya, jumlah kerugian hasil samun oleh dua suspek yang dipercayai warga tempatan itu dianggarkan kira-kira RM3,000. 

“Identiti kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu telah dikenal pasti dan polis percaya mangsa dan suspek saling mengenali serta mempunyai pertalian keluarga. 

“Operasi akan dilancarkan bagi mengesan mereka yang terlibat dalam jenayah ini,” katanya.

Sumber - Kosmo