Syabas… Ranking FIFA Skuad Malaysia Melonjak Ke-170


SYUKUR…. Rekod kejayaan Malaysia berpesta gol ‘belasah’ Bhutan 7-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di ibu negara pada 1 April lalu akhirnya melonjakkan kedudukan skuad negara di pentas dunia.

Terkini, ranking Harimau Malaya dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini naik sembilan anak tangga untuk duduki tempat ke-170, sekali gus kembali sebagai mana rekod dicapai pada Oktober tahun lalu.

Ia memperbaiki semula maruah Malaysia yang pada bulan lalu menjunam ke tangga 178 iaitu rekod terburuk dalam sejarah. Setakat ini pencapaian terbaik Harimau Malaya ialah posisi ke-66 yang pernah dicatatkan pada Mac 1977.

Berita gembira tersebut turut dikongsi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun sosial Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada kira-kira pukul 6.17 petang Khamis.

“Tahniah… Tahniah saya ucapkan kepada bakal presiden baharu FAM atas kedudukan skuad kebangsaan naik tangga ke-170 daripada 178 sebelum ini. Mantap presiden baru. Tahniah,” jelas baginda memuji kejayaan tersebut.

Tunku Mahkota Johor itu turut memuat naik gambar memaparkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang dicadangkan baginda sendiri menerajui badan induk sukan tersebut dalam kongres pada Julai depan.

Di peringkat ASEAN, Vietnam unggul kuasa bola sepak serantau apabila naik 10 anak tangga untuk tempat ke-103, diikuti Filipina meningkat 13 anak tangga berada di posisi ke-113 dan Thailand pula ke-122, tokok tujuh anak tangga.

Myanmar (ke-135), Indonesia (ke-162), Kemboja (ke-168) manakala selepas Malaysia ialah Singapura (ke-172), Laos (ke-179) dan Brunei (ke-194). Di peringkat Asia, Iran pula dianggap jaguh benua dengan kedudukan ke-36 dunia.

Menjelang kempen Piala Dunia 2018 di Rusia pada Jun, juara bertahan, Jerman mengekalkan status di persada ranking FIFA diikuti Brazil manakala Belgium naik tempat ketiga memintas Portugal yang jatuh tangga keempat.

Penentuan kedudukan terbaharu itu ditetapkan hasil keputusan sebanyak 133 perlawanan berlangsung sepanjang Mac lalu, termasuk aksi persahabatan antarabangsa dan 13 perlawanan Piala AFC Asia. –Kedahnews.com