“Tak Puas Hati? Kemuka Petisyen” – SPR Nasihat Tian Chua


PUTRAJAYA: Calon PKR, Tian Chua yang tidak berpuashati apabila kertas pencalonannya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), boleh mengemukakan petisyen bantahan ke mahkamah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata pihaknya akan akur terhadap apa juga keputusan mahkamah kelak.

“Ini ialah keputusan yang ada kaitan dengan mahkamah.

“Jadi sesiapa sahaja mahupun calon yang berasa dia perlu membantah, dia boleh buat bantahan. Buat petisyen dan kemukakan kepada mahkamah nanti.

“Mahkamah akan buat keputusannya,” katanya pada sidang media sempena Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di sini, semalam.

Permohonan pencalonan Naib Presiden PKR, Tian Chua ditolak SPR semalam, berikutan satu kes di Mahkamah Shah Alam pada 2013.

Ditanya kenapa Tian Chua tidak boleh menjadi calon pada PRU-14 tetapi boleh menjadi calon ketika PRU-13, walaupun mempunyai kes mahkamah, Mohd Hashim sekali lagi menegaskan, situasi itu perlu dilihat dari segi undang-undang dan peraturan yang dikenakan terhadap Tian Chua.

“Mungkin itu alasan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO), berapa jumlah denda yang dikenakan atau mahkamah putuskan berapa dan mungkin tahap itu dia hilang kelayakan untuk bertanding.

“Sebab itu saya kata kalau dia tak puas hati, dia bawa ke mahkamah kemukakan petisyen. Kita akan akur dengan keputusan mahkamah.

“Kalau dia tidak sempat (untuk jadi calon kali ini) pun, kita ada macam-macam cara pilihan raya,” katanya.

Mengulas kegagalan calon PKR, Dr S Streram yang gagal menghantar borang penamaan calon, Mohd Hashim berkata, SPR sedang menunggu laporan penuh daripada RO Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub.

Kegagalan Streram menyerahkan borang pencalonan itu membolehkan penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Besar Negeri Sembilan) menang tanpa bertanding.

“Saya sedang tunggu laporan penuh dari RO. Jadi kita tidak boleh buat sebarang tuduhan, dalam jangka masa begini, kita minta pihak terbabit kalau rasa tak puas hati, dia boleh kemukakan petisyen,” kata Mohd Hashim .

Calon PKR itu tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas SPR.

Sumber – TV14

#JomBN #BersamaBN #DahulukanRakyat #HebatkanNegaraku #PRU14 #TsunamiPHitnah #GE14 #UndiBN #BR1M #ManifestoBN #HarapanPalsu #HarapanBohong #TolakDAP #PakatanDAP #SinsofMahathir #DosaDosaMahathir