KUALA PERLIS - Jabatan Pertanian Perlis menasihatkan orang ramai supaya lebih teliti ketika membeli mempelam harumanis supaya tidak menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab.
Pengarahnya, Zulkefli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata oleh kerana mempelam tersebut mendapat permintaan tinggi sudah pasti segelintir peniaga mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan besar dengan menjual harumanis 'tipu' atau buah yang tidak elok atau cukup matang.
"Harumanis yang menjadi ikon produk Perlis berharga RM40 hingga RM45 sekilogram pada masa kini berbanding mempelam biasa antara RM5 hingga RM10 sekilogram.
"Cara mudah untuk mengenali mempelam yang hendak dibeli adalah harumanis sebenar ialah baunya wangi. Kalau tidak harum, jangan beli," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau ditemui selepas menjalankan operasi memeriksa gerai menjual mempelam bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pejabat Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis di sepanjang Jalan Kuala Perlis-Changlun.
Operasi itu dijalankan berikutan penularan dalam laman sosial Facebook mengenai seorang pembeli mendakwa tertipu kerana mempelam harumanis yang berharga RM45 sekilogram yang dibelinya daripada peniaga tidak berkualiti seperti dihebohkan.
Zulkefli menasihatkan para peniaga menjaga nama baik Perlis dan bertanggungjawab dengan hanya menjual buah yang cukup matang kepada pembeli.
Sehubungan itu, beliau mempelawa para peniaga dan pengusaha harumanis mengunjungi pejabat Jabatan Pertanian untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu mereka di samping kaedah terbaik untuk menjana pendapatan bagi menggalakkan perkembangan industri mempelam tersebut.- BERNAMA