Tengku Asmadi Tekad Ubah Nasib Rakyat Miskin


KUALA TERENGGANU – Pesanan arwah ibu yang meminta pakar motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, 54, agar mengubah nasib masyarakat Kuala Nerus dari kepompong kemiskinan menyebabkan beliau bersetuju dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Anak jati Seberang Takir itu yang dirisik sejak hujung tahun lepas bagi menjadi calon Parlimen itu tanpa ragu-ragu terus menerima pelawaan itu kerana menyifatkan ia satu peluang dan kepercayaan daripada pucuk pimpinan parti bagi merealisasikan pesanan arwah ibunya, Fatimah Ab Rahman yang meninggal dunia 7 Dis lalu.

“Dalam tempoh 30 hari terakhir ibu saya, saya telah diberikan ‘bayangan’ untuk bertanding, saya minta restu dia (ibu) dan dia pesan ‘kalau mu(kamu) jadi YB (Yang Berhormat), jangan lupa orang susah’…pesanan ini akan saya ingat sampai bila-bila dan inilah yang akan saya perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pengumuman calon BN bagi PRU 14 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman, di sini semalam.

Mengimbas kembali kehidupan remajanya, beliau berkata arwah ibunya merupakan ibu tunggal dan berjaya mengubah nasib keluarga hasil bantuan kerajaan.

“Saya dibesarkan ibu tunggal sejak berusia lapan tahun bersama adik beradik lain. Dahulu, hidup kami sekeluarga memang susah, tapi dengan bantuan pendidikan yang diberikan kerajaan, saya mampu mengubah nasib hidup keluarga saya.

“Tanpa biasiswa dan pendidikan, saya tak mungkin berjaya menjadi seorang pakar motivasi seperti hari ini. Saya dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan menyambung ijazah Doktor Falsafah (PhD) di salah sebuah universiti di Australia dengan biasiswa yang diberikan,” katanya.

Meskipun tanggungjawab yang bakal digalasnya nanti berbeza dengan karier sebagai pakar motivasi, namun belia melihat ia satu-satunya peluang untuk membantu masyarakat di sini menerima pendidikan dan kemahiran kerana percaya ia antara satu cara untuk mengubah kehidupan.

“Insya-Allah, jika menang saya akan pastikan setiap rumah di Parlimen saya nanti akan ada sekurang-kurangnya seorang daripada ahli keluarga yang dapat masuk universiti atau menerima kemahiran bagi mengubah nasib keluarga,” katanya. – Bernama