'Tengok Orang Jepun, Lepas Gempa Tetap Beradab'


SHAH ALAM - Banyak perkara yang perlu kita pelajari dan contohi dari negara Matahari Terbit (Jepun), terutamanya daripada segi menjaga perilaku dan adab sopan .

Lihatlah rakyat Jepun meskipun mereka berhadapan dengan saat getir, mereka tetap beradab sopan dan saling menghormati sesama mereka.

Jika diimbas kembali tragedi gempa bumi yang melanda negara itu pada 2011 tidak membuatkan rakyatnya menjadi seperti 'zombie', dan kacau bilau.

Menerusi perkongsian laman Facebook Keiken Talk mereka berkongsi bagaimana beradabnya rakyat Jepun, meskipun ketika mereka masih berhadapan saat sukar selepas negara itu dilanda gempa bumi.

"Terkejut bila tengok gambar 'aftermath' di Aeon Tebrau. Adakah harga adab dan adat diri kita hanya RM3,000?

"Ini gambar di Aeon Jepun lepas gempa bumi besar 2011.Walaupun semua dalam keadaan takut dan terdesak,orang Jepun masih boleh beratur dan membeli ikut giliran," kongsi laman Facebook berkenaan.

Kongsi mereka lagi, tatkala seorang rakyat Malaysia  memasuki pasar mini 7E di Jepun untuk beli bekalann makanan, ada kisah menarik berlaku disitu.

"Roti ada satu bungkus di atas rak dan ada orang Jepun yang nak beli tapi orang Jepun dahulukan dia sebab dia orang asing," kongsi mereka lagi.

Justeru itu, mereka mengajak agar rakyat Malaysia berubah menjadi lebih baik.

"Adab,adat dan harga diri kita sebenarnya tidak ternilai. Jangan kerana duit,kita sanggup buang adab,adat dan harga diri.

"Jom bina negara ke arah yang lebih hebat. Jadikan insiden di Aeon baru-baru ini sebagai pengajaran. Jika suatu hari nanti,ketika kita membeli belah datang seorang kaya dan ingin belanja, kita sama-sama jaga adab,adat dan harga diri kita," kongsi mereka lagi.

Jelas mereka, sesuatu masalah dan peristiwa tidak berlaku dengan kosong,ianya pelajaran untuk kita jadi lebih baik pada hari akan datang.

Baru-baru ini tular gambar keadaan di Aeon Tebrau bagaimana kotornya keadaan selepas orang ramai terburu-buru mengejar untuk membolehkan barangan mereka dibelanja.

Keiken Talk merupakan sebuah laman Facebook dan usahasama bekas graduan Jepun tentang budaya baik negara Jepun untuk dipraktikkan dan diharmonikan dengan sosio budaya rakyat Malaysia.

Sumber: Sinar Online