Terima Segala Keputusan Najib - MCA


BENTONG - Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan semua pihak perlu bertolak ansur dan menerima dengan hati terbuka apa saja keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berhubung isu perebutan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata, keputusan muktamad adalah di tangan Najib dan semua termasuk ahli MCA perlu melihatnya dengan gambaran lebih besar.

"BN perlu meletakkan calon yang boleh menang, tidak kira parti mana yang diwakili sama ada UMNO, MCA atau MIC.

"Justeru, kita perlu bertolak ansur kerana jika kita (MCA) tidak boleh menang (di sesebuah kawasan), kita boleh tukar dan gantikan dengan parti lain.

"Apa yang penting dan menjadi keutamaan semua parti komponen ketika ini adalah memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU-14), sekali gus membentuk kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Santai Silaturahim Felda Kemasul Bersama Pemimpin di sini, semalam.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, MCA membuat persiapan rapi untuk PRU-14 dan kali ini parti berkenaan bakal menampilkan ramai calon muda serta golongan profesional.

Beliau berkata, semua calon yang disenarai pendek sudah dimaklumkan secara dalaman dan pengumuman rasmi hanya akan dilakukan selepas mendapat 'lampu hijau' daripada Pengerusi BN.

"Kita harap dengan adanya calon profesional dalam kalangan golongan muda ini dapat menarik lebih ramai pengundi muda," katanya.

Sumber: BH Online