"Tsunami Biru" Gegar Padang Terap Di Hari Penamaan Calon

PADANG TERAP - "Tsunami" biru amat ketara menyelubungi suasana hari penamaan calon bagi bersaing memenangi kerusi Parlimen Padang Terap dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Nerang dan Pedu, di sini pagi tadi.

Mengepalai "lautan biru" yang hampir mencecah 5,000 orang penyokong, calon-calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) berarak beramai-ramai sambil berselawat kepada junjungan besar Rasulullah SAW menuju ke lokasi penamaan calon.


Ketua UMNO Bahagian itu, Dato' Seri Mahdzir Khalid yang bertanding di P007 Parlimen Padang Terap menerajui perarakan bersama dua lagi calon, Dato' Badrol Hisham Hashim (N07 Dun Kuala Nerang) dan Kama Noriah Ibrahim (N08 Dun Pedu).

Ketiga-tiga calon BN tersebut menang bergaya pada PRU ke-13 yang lalu dengan kemenangan 3-0 mengatasi pencabar masing-masing.


Sementara itu, turut difahamkan bahawa lebih 2,000 penyokong PAS hari ini mengiringi calon Parlimen parti itu, Mohd Azam Abdul Aziz, kedua paling ramai di kalangan parti bertanding di sini.

Turut bersama Mohd Azam adalah dua lagi calon yang mewakili PAS, Munir Zakaria (Dun Kuala Nerang) dan Mohd Radzi Md Amin (Dun Pedu).


Manakala calon Parti Amanah Negara (PAN) yang "meminjam" logo untuk bertanding di atas tiket PKR, Mohd Khairizal Khazali, bertanding bagi kerusi parlimen itu pula hanya diiringi kira-kira 200 orang penyokong sahaja, paling sedikit jumlahnya berbanding dua parti lain.

Mohd Khairizal difahamkan bukan merupakan anak jati Padang Terap, sebaliknya menetap di Sungai Petani dan bertanding atas kapasiti wakil Pemuda PAN di negeri ini.


Mohd Khairizal turut diiringi Syed Fadzil Syed Embun (PPBM) yang bertanding di Dun Kuala Nerang, manakala Hashim Idris pula mewakili partinya untuk merebut kerusi Dun Pedu.

Difahamkan bahawa para penyokong BN yang menyemarakkan suasana hari ini datang daripada pelbagai pelusuk kampung dan kawasan di daerah ini bagi menyatakan sokongan mereka terhadap ketiga-tiga calon berkenaan.

Mengulas mengenai keyakinan untuk BN mengekalkan kemenangan di kesemua kerusi terbabit, Mahdzir hanya menyerahkan kepada kehendak Allah SWT dan mensasarkan pertambahan undi majoriti bagi BN di semua kerusi itu pada 9 Mei ini.

"InsyaAllah, kami semua akan dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi (pada PRU ke-13 yang lalu).

"Dan insyaAllah, jumlah (majoriti) akan bertambah," katanya ketika ditemui Kedahnews.com sejurus selesai proses penamaan calon di Pejabat Daerah Padang Terap di sini, pagi tadi. - Kedahnews.com