PENAMPANG — MCA Sabah percaya ‘tsunami Cina’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan bertukar arah kepada menyokong calon Barisan Nasional (BN) selepas masyarakat itu dilihat mula kembali ke pangkuan BN.
Timbalan Pengerusi MCA Negeri, Datuk Francis Goh berkata selepas ‘tsunami Cina’ melanda PRU13, yang menyaksikan ramai pengundi Cina menyokong calon pembangkang, ada petanda menunjukkan aliran berkenaan akan berubah pada PRU14.
Menurutnya, ini berikutan masyarakat itu kini menyedari kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mesra kepada kaum itu berbanding zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun sebelum ini.
Beliau berkata kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib telah menyalurkan pelbagai bantuan untuk masyarakat Cina termasuk bantuan kepada sekolah aliran Cina serta bantuan modal perniagaan kepada kaum itu.
“Kalau dibanding dengan perdana menteri (PM) dahulu (Dr. Mahathir), PM Najib lebih penyayang kepada masyarakat Cina,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.
Beliau berkata dasar luar negara di bawah kepimpinan Najib memberi manfaat kepada negara termasuk menjalin hubungan ekonomi yang baik dengan kerajaan China melalui inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR).
Masyarakat Cina tempatan, katanya, melihat ini sebagai peluang bagi mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara melalui kemasukan pelaburan dari China ke negara ini.
Selain itu, beliau berkata masyarakat Cina juga tidak menyenangi kehadiran Dr. Mahathir dalam pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), yang mereka anggap tidak bersifat adil kepada kaum itu semasa menjadi perdana menteri.
Pada PRU13, MCA merekodkan pencapaian terburuk dalam sejarah pilihan raya umum apabila sekadar mendapat tujuh kerusi Parlimen daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 kerusi yang ditandingi dengan sebahagian besar calonya dikalahkan oleh DAP dan PKR diwakili calon Cina.
Goh berkata ‘tsunami Cina’yang berpihak kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2013 antara lain disebabkan kehadiran penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kemunculan media sosial sebagai wadah propaganda mulanya oleh parti pembangkang sewaktu 2008 dan kemudian ditandingi oleh BN menjelang PRU13.
Kekuataan media alternatif sebagai senjata pembangkang untuk menabur fitnah bagi mengubah persepsi pengundi muda terhadap BN dan khususnya MCA sehingga parti pemeritah tidak sempat menjawab banyak fitnah dan tohmahan itu, katanya.
Bagaimanapun, katanya, senario PRU14 adalah berbeza apabila MCA telah melakukan persediaan awal di alam maya apabila tentera siber BN mula membalas dan menjawab apa jua fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan bagi menarik pengundi.
“Saya selalu nasihatkan masyarakat Cina agar menggunakan kewarasan mereka untuk memilih mana satu yang baik… selalu saya katakan, tidak adil kepada MCA dan Gerakan kalau (kaum Cina) beri undi kepada DAP tetapi segala kerja membantu masyarakat Cina dibuat oleh MCA dan Gerakan,” katanya.
Goh percaya dan yakin MCA berupaya menarik 55 peratus sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum kali ini berbanding cuma 15 peratus pada pilihan raya lalu.
Mengenai kerusi DUN Kapayan di mana dia sendiri disebut-sebut bakal dicalonkan, Goh berkata MCA yakin dapat merampas semula kerusi berkenaan daripada pembangkang berdasarkan persiapan awal parti itu termasuk program turun padang membantu penduduk di kawasan itu.
Pada PRU13, calon DAP, Dr. Edwin Bosi (kini ahli Parti Anak Negeri) mengekalkan kerusi DUN Kapayan untuk penggal kedua dengan mengalahkan calon BN dari MCA, Datuk Edward Khoo, Chong Pit Fah (SAPP) dan Daniel Dell Fidelis dari parti STAR dengan majoriti 7,287 undi. - Bernama