Tukar Kerajaan Tidak Semudah Tukar Kereta


KUANTAN – Rakyat di negeri ini termasuk golongan nelayan diminta menggunakan kuasa mereka sebagai pengundi pada 9 Mei nanti dengan memilih kerajaan yang benar-benar telah terbukti kukuh, stabil dan mampu membantu rakyat terutama golongan yang susah.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sikap ingin mencuba-cuba kerajaan yang berlaku di beberapa buah negara termasuk di Timur Tengah terbukti hanya menghancurkan negara berkenaan dan bukan memajukan lagi negara itu seperti yang diharapkan.

“Kuasa besar yang akan rakyat dapat pada 9 Mei nanti akan menentukan corak pentadbiran kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang. Tukar kerajaan tidak semudah tukar kereta atau tukar isteri… jika salah tukar kerajaan, nasib pada masa depan susah nak ditentukan.

“Lihat sahaja apa yang berlaku di Mesir selepas Presidennnya Hosni Mubarak digulingkan, negara itu kini tidak lagi aman, barang mahal, rakyat berada dalam keadaan ketakutan kerana pergaduhan dan berbunuh sesama sendiri hanya kerana perbezaan fahaman politik walaupun kesemua mereka beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis ramah mesra bersama nelayan Kuantan, di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM Untong Keri.

Sehubungan itu, katanya rakyat di negara ini sepatutnya menjadikan perkara berkenaan sebagai iktibar dan hanya kerajaan yang benar-benar kuat mampu untuk menjaga keamaan serta keharmonian Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Adnan berkata pada masa kini juga kerajaan berdepan dengan pelbagai fitnah serta tomahan terutama menerusi media sosial dan rakyat seharusnya bijak menilai kebenaran berita yang disebarkan itu sebelum mempercayainya.

Pada majlis berkenaan Adnan turut menyampaikan sumbangan bantuan wang sara hidup dan empat buah traktor kepada persatuan nelayan sekitar Parlimen Kuantan. – BERNAMA