Umie Aida Bela Ular Untuk ‘Hidupkan’ Watak


DEMI menjayakan wataknya dalam filem Dukun, Datin Seri Umie Aida sanggup ‘berkawan’ dengan seekor ular selama dua bulan sebagai inspirasi menghidupkan watak Diana Dahlan.

Kata Umie, 44, meskipun pada awalnya beliau berasa geli-geleman, namun membela reptilia tersebut sememangnya membantu untuk ‘menghidupkan’ watak antagonis seorang pengamal ilmu hitam.

“Saya sebenarnya sangat geli dengan ular namun saya perlu biasakan diri kerana ianya merupakan ‘study’ yang terbaik untuk saya jayakan watak ini.

“Ular bukan saja simbolik watak penggoda, sebaliknya kombinasi bagi semua ciri yang perlu ada dalam watak itu.

“Namun, saya tidak boleh kawal orang luar untuk mengaitkan watak Diana dengan mana-mana individu,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Dukun di KLCC, petang tadi.

Apabila ditanya sama ada beliau pernah melalui pengalaman menakutkan sepanjang penggambaran, Umie berkata beliau hanya berasa seluruh tubuhnya ketika menggigil ketika babak di dalam sel tahanan.

“Ketika itu, saya sedang ‘datang bulan’. Dalam hati, saya bertanya mengenai perasaan banduan akhir yang bakal digantung. Perasaan itu terus berlegar di fikiran hingga seluruh tubuh saya menggigil secara tiba-tiba.


“Keadaan itu membuatkan saya terpaksa meninggalkan seketika sel tahanan bagi bertenang dan berehat di parkir berhampiran,” katanya mengimbau kenangan lebih 12 tahun lalu beraksi dalam filem yang siap dibikin pada 2006. itu.

Selain Umie, filem Dukun arahan Dain Said yang menampilkan Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Adlin Aman Ramlie, Elyana dan Namron, menemui penonton di 100 pawagam di seluruh negara, mulai esok. - Kedahnews.com