Video: Orang Malaysia Sekarang Tahu Tengok Rakam Jer Tolong Tidak


SANA-SINI kejadian jenayah semakin kerap dilaporkan sama ada di dada akhbar mahupun di media-media elektronik.

Di media sosial pula netizen paling lantang bersuara melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan mengutuk perbuatan si penjenayah.

Namun apa yang menghairankan apabila berlaku di hadapan mata, tiada siapa yang sanggup menghulurkan bantuan.

Ini yang berlaku di Taman Limau Manis, Kota Bharu, Kelantan apabila mangsa yang juga seorang wanita terpaksa bergelut sendirian tanpa diendahkan orang awam yang lalu lalang di tempat kejadian.

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) dalam kejadian malam Isnin itu, penunggang motosikal wanita itu pada mulanya sedang keluar daripada sebuah persimpangan jalan di kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun dia telah dihalang oleh seorang individu berbaju oren yang dipercayai cuba menyamun mangsa dengan menggunakan sebatang objek tumpul.

Berlaku pergelutan di antara mereka namun mangsa berjaya memberikan asakan hebat kepada si penjenayah sehinggakan keadaan itu berterusan ke tengah jalan.

Penjenayah itu akhirnya tidak meneruskan hasratnya untuk meragut lalu membiarkan mangsa kembali kepada motosikalnya.

Walaupun netizen membuat pelbagai telahan mengenai kejadian itu, namun isu kemanusiaan nampaknya dilihat semakin tipis dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Macam berlakon, tapi yang peliknya sorang pun tak mai tolong mangsa… kalau benda ni jadi kat keluarga diorang baru rasa nak tolong ker?” tulis seorang netizen. - Kedahnews.com