JIKA rakyat Malaysia sebelum ini dikejutkan dengan gimik seram wanita berkebaya marah, terbaharu sebuah lagi rakaman video menampakkan entiti yang didakwa seakan kelibat puntianak berjaya dirakam.
Melalui video tular berdurasi 25 saat yang dimuat naik pada 28 Mac lalu itu, buaian di taman permainan Kuaters Bomba Kempas, Johor dilihat berhayun dengan sendirinya.
Video yang dipercayai dirakam dari ruang balkoni itu menunjukkan satu entiti berpakaian putih dan beramput panjang sedang berdiri sambil menghayun buaian pada waktu siang.
Turut kelihatan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut kenyataan beberapa penduduk di kuaters kerajaan itu, mereka juga pernah mengalami kejadian aneh pada waktu malam dan difahamkan kawasam berkenaan baru sahaja siap dibina dan diduki pada Mac lalu.
Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Muhamad Riduan Akhya yang dipetik sebuah portal berkata, isu gangguan makhluk halus itu tidak pernah diutarakan sejak penghuni kuarters itu berpindah masuk ke rumah masing-masing pada Mac lalu.
Menurutnya, sejak video wanita yang menyerupai seakan-akan pontianak itu dikongsikannya, pihaknya mengambil pendekatan mengadakan bacaan tahlil dan Yaasin pada Ahad lepas.
“Kita ada mengambil pendekatan perubatan tradisional dan mengadakan bacaan tahlil dan Yaasin, Ahad lalu.
“Bagi kami, isu ini tidak serius dan kemungkinan ia hanya kebetulan dilihat oleh penghuni pada waktu itu.
“Sebelum ini, anak-anak penghuni bermain di taman permainan tersebut tidak pula berdepan dengan masalah gangguan makhluk halus ini,” katanya.
Katanya lagi, sebagai umat Islam, setiap orang perlu percaya alam ghaib dan makhluk halus, namun pendekatan secara tradisional dan Islam perlu dilakukan bagi menjaga keharmonian penghuni kuarters berkenaan. –Kedahnews.com