"Video Tu Dah Lama Masa Jadi Senator Lagi, Bukan 'Bagi Dedak' PRU14" - Calon BN Sungai Petani


ALOR SETAR - Datuk Shahanim Mohd Yusof yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Kedah bagi DUN Sungai Petani dikecam teruk gara-gara video yang diviralkan oleh Pakatan Harapan (PH) kononnya beliau memberi rasuah berupa wang kepada penduduk di Sungai Petani sebagai gula-gula Pilihan Raya ke-14 (PRU14).

Bagi membersihkan nama Shahanim, empunya badan menjelaskan sumbangan itu diberikannya atas kapasiti beliau sebagai Ahli Dewan Negara dan atas perayaan masyarakat India ketika itu.

“Salahkah saya nak beri sumbangan kepada mereka?

“Video itu menunjukkan saya bagi sumbangan kepada masyarakat India ketika mereka meraikan satu perayaan. Saya masih pegang jawatan Senator dan ada lagi peruntukan jadi saya bagi pada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah MD. Hanifah di Mentaloon semalam.

Difahamkan bahawa video berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PRU14 mahupun pemberian dedak seperti didakwa pembangkang kerana sumbangan itu telah lama diberikan.

Susulan tuduhan dan fitnah melampau dibuat pihak pembangkang menjelang PRU14, Shahanim dilaporkan akan membuat laporan polis mengenai penyebaran video tersebut.

“Saya kena hentam gila-gila. Bila dibantu kena fitnah. Saya positif kerana sumbangan tu bagi manfaat ramai. Saya akan teruskan. Boleh tengok dalam Facebook saya.

“Memang sejak tiga tahun lalu saya bagi sumbangan terus sebagai Ahli Negara. Saya sendiri buat hashtaq kepada SPRM mengenai fitnah berkenaan.

“Elaun saya sebagai senator adalah RM15,000 sebulan dan saya gunakan untuk bagi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Jadi tak salah saya nak berkongsi nikmati sedikit dengan rakyat tapi diviral gila-gila haprak,” katanya.

Jelas bahawa tuduhan itu hanyalah mainan politik kotor yang sering digunakan pihak pembangkang bagi mnejatuhkan pihak lawan, fitnah tersebut boleh disiasat di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar. - Kedahnews.com