KUALA LUMPUR: Seorang penumpang wanita yang pengsan dan terjatuh ke landasan di stesen LRT Damai di sini pada pagi Khamis didapati sedang hamil ketika kejadian yang boleh meragut nyawanya itu.
Dalam insiden pukul 7.48 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun sedang menunggu tren untuk ke tempat kerja.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di stesen LRT terbabit, wanita tersebut dalam keadaan tidak stabil dan secara tiba-tiba terjatuh ke landasan ketika tren menghampiri platform.
Bagaimanapun, jelas Rapid Rail Sdn Bhd, wanita tersebut berjaya diselamatkan menggunakan sistem PIES (Platform Intrusion Emergency Stop) yang dipasang di platform stesen LRT Laluan Kelana Jaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairani Mohamed, sistem PIES bertindak memberhentikan tren yang sedang menghampiri platform secara serta merta apabila ia mengesan ada “objek” yang terjatuh ke atas trek.
“Sistem PIES berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi tujuh kilogram ke atas plat PIES. PIES ini dipasang di semua platform di stesen LRT Laluan Kelana Jaya kecuali di stesen bawah tanah.
“Kami amat bersyukur kerana sistem keselamatan yang terdapat pada tren dan stesen berfungsi dengan baik sekali. Sistem PIES ini direka dan dipasang di kebanyakan sistem rel bandar di serata dunia bagi mengesan sebarang objek atau gangguan pada sistem trek,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook RapidKL, susulan insiden itu semua penumpang diarahkan untuk mengosongkan platform bagi kerja-kerja menyelamatkan mangsa.
Pasukan penyelamat yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat serta ambulans yang tiba di lokasi sejurus kejadian mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk menyelamatkan mangsa.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susukan dengan diiringi pegawai Rapid KL.
Sistem LRT Laluan Kelana Jaya kembali pulih kira-kira pukul 8.15 pagi setelah mengalami kelewatan jadual perjalanan kira-kira 25 minit.
Sumber: mStar