PENYANYI dan pelakon cantik, Maya Karin mengaku pernah menjadi mangsa buli siber apabila diganggu seorang wanita hingga terpaksa melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Maya mendedahkan bahawa dia telah diugut dengan kata-kata berbaur ancaman oleh wanita berkenaan di laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram sekitar bulan Ogos tahun lepas.
“Wanita itu bukan sahaja mengugut saya, tetapi ahli keluarga terdekat juga terkena tempias ugutannya.
“Walaupun dia cuma menghantar pesanan menerusi laman sosial, gangguan yang dilakukan boleh dikatakan melampaui batas susila seorang manusia.
“Perkara tersebut berlarutan selama beberapa bulan sehinggalah saya membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada penghujung tahun lalu,” kata Maya dipetik sebuah portal online.
Tambah Maya lagi, selepas pihak polis melakukan siasatan lanjut seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan reman selama tiga hari awal tahun ini di Melaka sebelum dibawa ke muka pengadilan.
Jelasnya, wanita tersebut bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dan hakim mengenakan hukuman denda atas kesalahan yang dilakukan.
“Mengikut siasatan polis, motif wanita itu agak samar dan kurang jelas, cuma difahamkan, dia adalah seorang peminat fanatik dan juga berstatus ibu,” jelas Maya.
Pun begitu, Maya berkata dia tidak menyimpan sebarang perasaan dendam dan mengingatkan masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Sebagai artis, saya sudah biasa berdepan perkara seperti ini, Tetapi, tidak ahli keluarga saya yang sangat terkejut dengan apa yang berlaku. Saya berharap kesilapan itu lagi tidak diulangi,” ujar Maya dipetik BH Online.
Dalam perkembangan lain, Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke dikatakan sibuk untuk memulakan rakaman single terbaru iaitu lagu duet bersama Kaka Azraff dan Awi Rafael. - Kedahnews.com