Warga Emas Sesat Di Hutan, Tidur Berbantalkan Ikan


CEMAS… Seorang warga emas di Terengganu terpaksa bermalam dalam hutan apabila sesat di hutan Jerangau dan terpaksa tidur dengan berbantalkan ikan.

Lapor Sinar Harian, mangsa, Tengku Mohammad Tengku Abas, 61, memberitahu dia keluar memancing bersama seorang rakannya petang kelmarin di kawasan berkenaan.

Dia yang berasal dari kampung Jerangau Barat, namun gagal mencari jalan pulang selepas terpisah dengan rakannya dan cuaca pula kebetulan sudah semakin gelap.

“Kami sampai di hutan pada jam 4 petang dan ketika dia ajak pulang kira-kira jam 7 petang, umpan kail saya baru sahaja mengena dan tidak perasan rupanya dia telah keluar untuk pulang.

“Rasa sekejap sahaja dia sudah hilang dan hari sudah gelap. Saya tidak boleh cari jalan keluar kerana terlalu gelap dan terpaksa tidur di tepi sungai berbantalkan ikan yang ditangkap,” katanya.

Tengku Mohammad turut merasai pengalaman yang mencabar bermalam di dalam hutan apabila terserempak dengan seekor gajah yang berada dalam jarak beberapa meter sahaja dengan dirinya.

Kejadian tersebut menyebabkan dirinya tergamam dan berdiam diri seketika dengan memberi laluan kepada haiwan liar tersebut menyeberangi sungai.

Nasibnya selamat kerana gajah tersebut tidak pula bertindak agresif dan hanya berlalu begitu sahaja.

Tambahnya lagi, kejadian tersebut tidak di luar dugaannya kerana mangsa sering memancing bersama rakannya di kawasan itu.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Ambs, Jas Wari Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8 malam mengenai kehilangan seorang lelaki dan melakukan pencarian.

“Operasi terpaksa ditangguhkan kerana hari sudah malam dan disambung pagi ini (semalam).

“Pada jam 9.10 pagi, mangsa ditemui dalam jarak 10 kilometer dari lokasi hilang,” ujarnya.

Pasukan perkhidmatan penyelamat perawatan kecemasan (EMRS) Bomba Ambs merawat mangsa setelah selamat dibawa keluar. - Kedahnews.com