KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak dijangka menyerahkan watikah pencalonan dan aku janji kepada calon Barisan Nasional (BN) selepas majlis pengumuman calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN diyakini hanya akan mengumumkan senarai penuh nama calon beberapa hari sebelum tarikh penamaan calon manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pencalonan pada 28 April ini.
Justeru, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, menjangkakan majlis penyerahan watikah kepada calon tidak akan diadakan pada minggu ini.
"Saya percaya majlis (penyerahan watikah) tidak akan diadakan pada hujung minggu ini kerana Perdana Menteri hanya akan serah (watikah) selepas nama calon BN diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
"Tapi ia terpulang kepada budi bicara dan keputusan Perdana Menteri," katanya kepada NSTP selepas sidang media dan majlis pelancaran Manifesto MIC untuk komuniti India pada PRU-14 di ibu pejabat MIC, semalam.
Pada PRU-13, parti komponen BN mengumumkan senarai calon mereka sehari lebih awal berbanding UMNO.
Pengerusi BN negeri pula menyampaikan surat watikah pencalonan kepada calon-calon BN pada hari sama UMNO mengumumkan senarai calonnya.
Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, MIC tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk tetap meletakkan calonnya di Parlimen Cameron Highlands walaupun menimbulkan konflik dengan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas.
"Bagi kerusi Cameron Highlands kami sudah kata banyak kali, ia sepatutnya diberikan kepada kami," katanya.
Mengulas sekiranya keputusan itu akan menyebabkan Kayveas keluar BN, beliau berharap apa yang mereka lakukan akan diselesaikan mengikut dasar kerjasama BN.
"Kami tidak mahu campur tangan urusan dalaman parti komponen BN yang lain, yang penting, tidak ada sabotaj dalam kalangan parti komponen BN bagi menghadapi PRU-14," katanya.
Sumber: BH Online