RAMAI sering menyalahkan media sosial apabila gagal peperiksaan, tetapi bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 Muhammad Ihsan Thaqif Bahter Nasir, aplikasi media sosial banyak membantunya.
Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak itu yang memperoleh 9A+ dalam SPM dan menerima Anugerah Kepujian dalam peperiksaan Baccalaureate Antarabangsa (IB) semester lepas di Kolej Mara Banting (KMB), berkata aplikasi WhatsApp banyak membantu dalam pembelajarannya.
“WhatsApp memang banyak membantu sebab banyak nota, fakta dan informasi berkaitan subjek SPM dan IB dikongsi melalui aplikasi itu bersama guru dan kawan-kawan. Lagipun ia berbentuk ‘soft copy’.
“Jadi, saya tidak perlu untuk mencetak, hanya muat turun dan membaca di mana sahaja saya berada termasuk ketika makan dan di tandas,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, semalam.
Muhammad Ihsan Thaqif, 18, sedang mengikuti IB di KMB selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Program ‘Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) ketika di tingkatan empat.
Pelajar itu yang menduduki SPM dan IB dalam tempoh sama berkata bukan mudah baginya menguruskan masa untuk mengulang kaji bagi SPM dan enam subjek IB secara serentak.
Berkongsi rahsia kejayaan, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu menjelaskan dia mengorbankan waktu riadah dan menggunakan masa tersebut untuk mengulang kaji serta menjadikan buku setiap subjek sebagai ‘kitab’.
Anak bongsu seorang doktor itu mengimpikan untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Cambridge, United Kingdom dan bercita-cita menjadi saintis dalam bidang fizik.
Kisah Muhammad Ihsan Thaqif tular apabila gambarnya dimuat naik oleh seorang pengguna Instagram yang tidak dikenali dengan kapsyen “lelaki dari planet lain” kerana kejayaan cemerlang dalam SPM dan IB yang kemudian dikongsi oleh netizen lain termasuk selebriti tanah air Neelofa . – Bernama