Yakin Rakyat Langkawi Bijak Memilih - Nawawi


ALOR SETAR - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yakin rakyat Langkawi akan membuat pilihan bijak dengan memilih anak watan yang benar-benar bekerja demi menyelesaikan masalah mereka dan tidak terpengaruh dengan sentimen nostalgia semata-mata.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu berkata, rakyat juga harus  memilih calon yang boleh bekerja siang malam dan bukan pilih wakil rakyat yang hanya nampak muka bila waktu bertanding dan tinggal di tempat lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon BN Kedah di Seri Mentaloon di sini, semalam oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Memetik Bernama, Nawawi dipilih mempertahankan kerusi Parlimen itu bersama-sama Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Nor Saidi Nanyan yang juga akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan DUN Kuah bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini.

​​​​​​​Tambahnya, beliau berharap pengundi Langkawi memberi undi pada calon yang boleh membawa lebih banyak pembangunan untuk penduduk Langkawi dan masa depan negara.

Diminta mengulas mengenai kemungkinan penduduk Langkawi akan terpengaruh dengan isu kontroversi yang dibawakan Tun Mahathir, Nawawi berkata kebanyakan isu itu sudah 'basi' dan hanya diceritakan berulang kali.

Dalam pada itu, katanya walaupun beliau yakin dengan kekuatan BN di pulau peranginan itu beliau tidak memandang remeh pihak lawan.

Pada 15 April lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon pakatan pembangkang di kawasan Parlimen Langkawi yang mempunyai 42,697 pengundi berdaftar. -Kedahnews.com

#BersamaBN
#KekalBN
#UndiBN
#JomBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat