KUALA LUMPUR - Sejajar dengan seruan kerajaan supaya majikan membenarkan pekerja masing-masing menunaikan tanggungjawab terhadap negara, syarikat pengurusan artis dan pengiklanan Prokuya Studios milik pelakon, Yana Samsudin dan suami, Fadzil Zahari, memberi cuti kepada kakitangan mereka.
Fadzil berkata, pendekatan itu diambil bagi memudahkan pekerja mereka yang mendaftar di kampung halaman untuk pulang mengundi pada 9 Mei depan.
"Saya dan Yana mencapai kata sepakat untuk memberikan cuti kepada pekerja kerana ingin memudahkan mereka yang ingin pulang mengundi.
"Pada mulanya, kami memberikan cuti pada 9 Mei saja, sebelum ia diisytiharkan sebagai cuti umum. Namun menyedari ada pekerja kami yang berasal dari Sabah, Sarawak dan utara tanah air, kami memutuskan untuk memberikan dua hari cuti iaitu pada 8 dan 9 Mei.
"Kami memilih untuk memberikan cuti sehari sebelum tarikh pembuangan undi bagi membolehkan masing-masing membuat persediaan sebelum keluar mengundi. Namun, saya berharap cuti yang diberikan itu tidak disalahgunakan oleh mereka," kata Fadzil yang juga seorang pelakon dan penulis skrip kepada BH Online.
Adik kepada aktor Datuk Farid Kamil itu memuat naik video di akaun Instagramnya, semalam, untuk mengumumkan hari cuti kepada pekerja syarikat mereka.
Video berkenaan turut menarik perhatian ramai apabila Fadzil membuat pengumuman itu sambil memangku anak lelaki mereka, Aisy Mateen, yang akan genap dua tahun pada Julai depan.
Dalam perkembangan lain, Prokuya Studios baharu saja melancarkan pertandingan filem pendek #SmartShorties2018 yang menawarkan hadiah wang tunai RM14,000 dan kursus pembikinan video selama dua hari bagi peserta terpilih.
Sumber: BH Online